POGBA (kiri) diburu United.

Turin: Paul Pogba mungkin kekal di Juventus biarpun timbul khabar angin mengenai kemungkinan pemain tengah Perancis itu akan berpindah ke England atau Sepanyol, kata ejennya Mino Raiola.

Pogba, 23, yang menggalas tugas penting dalam kempen Perancis pada final Euro 2016 dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Liga Perdana Inggeris Manchester United selain turut diperhatikan juara Liga Juara-Juara Real Madrid.

Bagaimanapun yuran perpindahan dianggarkan memecah rekod dunia £100 juta (RM521.2 juta) bakal menyaksikan Real tidak mampu mendapatkan Pogba, menurut laporan media Britain.

“Banyak yang diperkatakan mengenai masa depan Paul tapi tidak mungkin dia akan meninggalkan Juventus,” kata Raiola.

“Dia tidak terdesak untuk meninggalkan kelab dan Juventus tidak mahu dia pergi. Mereka mahu dia memperbaharui kontrak. Paul tidak terdesak untuk berpindah. Kami gembira di Juventus dan kelab itu mahu mengekalkan pemain bintang mereka.”

Kontrak Pogba di Juventus berakhir hingga 2019, manakala Raiola menjalinkan kerjasama rapat dengan United ketika musim panas ini apabila berjaya menyelesaikan kontrak buat kliennya, pemain tengah Henrikh Mkhitaryan dan penyerang Zlatan Ibrahimovic. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2016 @ 11:13 AM