GENERASI muda  mudah hadam teknologi.
GENERASI muda mudah hadam teknologi.
PEMBELAJARAN teknologi elak ketinggalan.
PEMBELAJARAN teknologi elak ketinggalan.
YASMIN
YASMIN
PROGRAM MDEC tonjol impak.
PROGRAM MDEC tonjol impak.
myMetro

Negara ini memerlukan bakat baru dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) selari dengan perkembangan digital yang pesat membangun di rantau Asia Tenggara.

Mana tidaknya, fakta jelas menunjukkan 40 peratus populasi negara di Asia Tenggara berumur 30 tahun ke bawah dan mereka menjadi peneraju kepada ICT.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) Datuk Yasmin Mahmood berkata, ia ternyata unik terutama kepada penduduk di negara ini yang memiliki generasi muda dengan sifat memanfaatkan teknologi secara menyeluruh.

“Apabila kita bercakap soal terbabit iaitu mengenai bakat, perkara paling penting adalah memandang kepada akar umbi dan sekolah,” katanya.

MDEC kini berusaha memperkenalkan program berkaitan teknologi dalam kurikulum pendidikan negara ini.

“Salah satu yang kami lakukan di Malaysia termasuk memperkenalkan program pengekodan dan sains komputer di sekolah,” kata Yasmin.

Beliau berkata, MDEC sudah pun melaksanakan projek perintis bermula tahun lalu dan ia akan diteruskan tahun ini.

“Ia program berterusan dan akan dilaksanakan serta menjadi sebahagian daripada kurikulum sekolah,” katanya.

Yasmin berkata, Malaysia mempunyai banyak kisah kejayaan dalam ICT daripada kanak-kanak yang memanfaatkan teknologi.

“Kita mempunyai rakyat yang sudah biasa dengan budaya digital tetapi mereka sekarang hanyalah pengguna digital.

“Usaha pada masa depan yang perlu dilakukan adalah memastikan mereka berubah kepada pengeluar digital berbanding pengguna biasa saja,” katanya.

Ulas Yasmin, kerangka polisi perlu diberi perhatian bagi memastikan ia terlaksana.

Beliau menambah bahawa ekonomi digital hari ini merentasi dua komponen dan dua lagi komponen pemangkin.

“Kerajaan dan dasar memainkan peranan yang penting; bagaimanapun, saya percaya inovasi digital dan revolusi perindustrian yang keempat berlaku hari ini benar-benar akan dipacu oleh perniagaan dan didorong ‘millennial’.

“Kedua-dua polisi terbabit yang perlu bagi kerajaan di rantau ini malah di seluruh dunia untuk perlu benar-benar diberi penekanan,” katanya.

Jika tidak, bagaimana kita mahu memanfaatkan hakikat 40 peratus daripada penduduk ASEAN adalah golongan di bawah 30 tahun?

Sementara inisiatif MSC Malaysia mencapai objektifnya daripada perspektif pelaburan dan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, perniagaan tempatan perlu meningkatkan permainan mereka dalam mendepani inovasi digital menjadi lebih produktif dalam ekonomi digital hari ini.

Yasmin berkata, satu kajian barubaru ini menunjukkan hanya 60 peratus syarikat tempatan di peringkat ‘digital explorer’.

“Adakah ini bermakna walaupun syarikat faham dan sedar akan kepentingan transformasi digital, ia tetap dipinggirkan? Ia tidak tertanam ke dalam strategi keseluruhan model perniagaan” kata Yasmin.

Katanya, syarikat patut melihat teknologi sebagai satu pelaburan untuk pertumbuhan dan bukan kos.

Yasmin dianggap oleh industri sebagai salah seorang pemimpin pemikiran dunia dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memaklumkan perkara itu kepada [email protected], baru-baru ini.

Di bawah kepemimpinan Yasmin, MDEC mencatatkan pertumbuhan sehingga 56 peratus dalam Pelaburan Diluluskan dan Pelaburan Luar Secara Langsung pada 2015.

Pelaburan yang dibawa masuk syarikat berstatus MSC Malaysia mencecah RM19.8 bilion tahun lalu dan MDEC merekodkan pertumbuhan tertinggi dalam pelaburan baru sejak ia mula ditubuhkan kira-kira 20 tahun lalu.

“2015 adalah tahun yang signifikan apabila pelaburan baru mencatatkan rekod memberangsangkan sejak 20 tahun, jualan eksport MSC Malaysia melebihi jangkaan kami,” kata Yasmin.

Eksport jualan adalah yang tertinggi dalam tempoh 10 tauhn apabila mencatatkan RM16.2 bilion berbanding RM13.7 bilion pada 204 iaitu peningkatan sebanyak 18 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2016 @ 11:52 AM