PELBAGAI juadah disediakan di rumah terbuka.
PELBAGAI juadah disediakan di rumah terbuka.
PELBAGAI juadah disediakan di rumah terbuka.
Kusyi Hirdan


Mengadakan rumah terbuka memang menjadi kebiasaan kita di Malaysia di musim raya. Dari satu Syawal sampailah ke penghujungnya.

Ramai berpendapat mengadakan rumah terbuka di sekian tempat, tarikh dan masa, lebih memudah merai dan menjamu tamu serentak. Mudah kerana ahli keluarga, kawan, rakan sepejabat dan kenalan alam maya boleh dilayan pada hari yang sama.

Maklum, kesibukan dengan kerjaya membuatkan masa sangat singkat. Selalunya, pada 3 atau 4 Syawal, ramai yang sudah mula masuk kerja. Jadi mereka menetapkan satu hujung minggu khas bagi tujuan rumah terbuka. Ada juga rakan kita yang mengambil kesempatan menjamu hidangan Syawal pada waktu makan tengah hari pada hari bekerja. Dia sendiri bercuti pada hari itu. Kawan-kawan dan ahli keluarga akan ‘lari’ sekejap ke rumah terbukanya.

Rumah terbuka sebenarnya bukan sekadar mengajak orang datang makan-makan di rumah kita tetapi sebenarnya bertujuan mengeratkan perhubungan, silaturahim dan memupuk kemesraan. Walaupun konsep ziarah di dalam Islam bukan hanya ketika Syawal tetapi sepanjang tahun, kesibukan masyarakat kita pada zaman ini membuatkan masing-masing berasakan perlu memperuntukkan sehari dalam setahun untuk merai tetamu dan ahli keluarga pada hari khas buat mereka.

Justeru, menu yang hendak disediakan sempena rumah terbuka tidak perlulah berlebih-lebihan kerana tujuan asal anda mahu merai tetamu dan menjalin kemesraan. Sekiranya begitu banyak memasak juadah, membuat persediaan, anda menjadi terlalu penat kecuali anda menggunakan khidmat katerer, itu cerita lain pula.

Pastikan:

1. Anda tetap sempat bersembang-sembang dan bertanya khabar dengan tetamu dan bukan sekadar sibuk di dapur memasak dan menambah hidangan apabila ia habis.

2. Ramai yang kata, kalau raya mesti ada lemang, rendang, ketupat, nasi impit, lontong, laksa, mi bandung, laksa dan nasi minyak. Lain orang lain memori mengenai juadah rayanya. Jadi, tidak perlulah anda menyediakan kesemuanya sebagai membangkit suasana raya. Anda sangat kepenatan nanti. Sebaliknya anda boleh memilih satu, dua atau tiga hidangan biasa raya dan yang lain disuai padan untuk memudahkan anda menyediakannya.

3. Siang atau malam? Elok juga memulakan jemputan sekitar jam 12 tengah hari dan pastikan beritahu tetamu rumah terbuka anda sehingga jam yang ditetapkan. Sekiranya anda beritahu waktu umum, siang hingga malam, pasti jam 11 malam pun masih ada yang mahu berkunjung sedangkan waktu itu anda sudah penat hingga rasa hendak pengsan.

4. Sebagai tetamu, jangan terlalu berlama di rumah terbuka. Setengah hingga sejam sudah mencukupi. Ini kerana kita mahu memberi peluang tetamu yang baru tiba pula dapat duduk dan makan apatah lagi jika rumah tuan rumah kecil

5. Sekiranya anda mengajak begitu ramai orang dan rumah anda sempit, buatlah hidangan makanan di luar saja. Susun kerusi di luar dan bentangkan juga tikar tambahan. Anda boleh meminjam tambahan kerusi dari jiran tetangga yang rapat.

6. Bawa makanan sendiri. Jika mahu menjadi tuan rumah bagi rumah terbuka yang menggunakan konsep ‘bawa makanan sendiri’ atau ‘potluck’, pastikan setiap seorang tidak membawa makanan sama. Anda sendiri elok mengambil tanggungjawab menyediakan minuman dan pencuci mulut. Sekali lagi jangan membazir.

7. Ikut nafsu merosakkan. Menu yang banyak memang nampak mewah dan menyeronokkan tetapi ia sering menjadi pembaziran. Tetamu tidak boleh fokus hendak makan yang mana satu sebaliknya makan segalanya dan apabila rasa tidak suka atau terlalu kenyang, ia ditinggalkan begitu saja.

8. Pilihan menu haruslah yang senang disesuaikan dengan kombinasi makan. Contohnya nasi impit boleh dimakan dengan kuah kacang dan juga kuah lontong atau lodeh.

9. Cadangan menu di bawah ini sudah mencukupi. Jangan lebih daripada enam menu termasuk minuman. Anda akan lebih relaks dan tidak penat sangat. Meja pun tak perlu ditambah. Tetamu juga dapat makan beberapa pilihan juadah yang mengenyangkan. Tuan rumah lebih relaks dan santai, bercerita serta bertanya khabar.

Menu 1

Nasi impit boleh dimakan dengan kuah kacang dan kuah lontong. Bermakna tetamu dapat merasa dua rasa. Mi goreng boleh saja digantikan dengan bihun atau kuetiau goreng.

1. Nasi impit

2. Kuah kacang

3. Kuah lontong

4. Mi goreng

5. Biskut raya

6. Minuman sejuk atau panas

Menu 2

Paling mudah sekiranya memilih nasi beriani atau nasi minyak. Ia set hidangan yang sudah lengkap. Tidak perlu berjenis-jenis lauk. Rendang ayam boleh saja diganti dengan menu kurma atau masak merah.

1. Nasi beriani atau nasi minyak

2. Rendang ayam

3. Acar timun dan nanas

4. Biskut raya

5. Minuman sejuk atau panas

Menu 3

Mi kari dan roti jala boleh dimakan dengan kuah kari yang sama. Untuk kanak-kanak tambahlah sosej atau ayam goreng. Roti jala, untuk menjimatkan masa, anda boleh saja menempahnya.

1. Mi kari

2. Roti jala

3. Kuah kari daging atau ayam

4. Sosej atau ayam goreng

5. Biskut raya

6. Minuman sejuk atau panas

Menu 4

Nasi impit paling mudah menyediakan. Malam sebelumnya sudah boleh direbus. Ia boleh dimakan dengan kuah kacang dan rendang. Mood raya pasti ceria dengan adanya menu ini. Boleh memilih untuk menambah sejenis kuih yang anda boleh tempah atau sekiranya sempat bolehlah menggoreng mi.

1. Nasi impit

2. Kuah kacang

3. Rendang ayam atau daging

4. Sejenis kuih atau mi goreng

5. Biskut raya

6. Minuman sejuk atau panas

Menu 5

Ada yang mahu kedua-duanya sekali untuk menandakan ia hidangan raya. Mesti ada lemang, rendang, nasi impit dan kuah kacang. Cukuplah sekiranya itu yang anda mahukan. Jangan berlebihan. Percayalah, tetamu akan fokus makan hidangan tersedia sederhana begitu. Tidak perlu tambahan menu lain. Untuk anak-anak kecil, anda sekali lagi mungkin boleh menambah rebusan sosej.

1. Lemang

2. Rendang ayam

3. Nasi impit

4. Kuah kacang

5. Biskut raya

6. Minuman sejuk atau panas

Menu 6

Nasi ayam juga seperti nasi beriani kerana ia set yang sedia lengkap. Mudah apabila memilih menu ini. Nasi impit pula boleh dimakan dengan kuah kacang dan juga sup nasi ayam sebagai soto. Sediakan sambal kicap pedas sebagai pelengkap soto.

1. Set nasi ayam iaitu ayam, salad, sup dan perisa

2. Nasi impit

3. Kuah kacang

4. Biskut raya

5. Minuman sejuk atau panas

Menu 7

Menu bijak. Sup boleh dimakan dengan bihun dan nasi impit. Nasi impit juga boleh dimakan dengan kuah kacang. Nah! Anda sudah mendapat kepelbagaian menu!

1. Sup daging atau ayam

2. Mi atau bihun

3. Nasi impit

4. Kuah kacang

5. Biskut raya

6. Minuman sejuk atau panas

Menu 8

Sekiranya memilih untuk menghidangkan menu ini, anda perlu menyediakan kuahnya dan salad sampingan. Tambahan nasi impit dan kuah kacang membangkit suasana raya. Atau boleh saja digantikan dengan lemang dan juga rendang. Pilih salah satu saja.

1. Laksa utara

2. Nasi impit atau lemang

3. Kuah kacang atau rendang

4. Sejenis kuih

5. Biskut raya

6. Minuman sejuk atau panas

Menu 9

Menu Barat juga ramai yang menyukainya. Di samping itu gabungan nasi impit dan kuah kacang sebagai pelengkap.

1. Spageti daging

2. Ayam goreng

3. Nasi impit

4. Kuah kacang

5. Biskut raya

6. Minuman sejuk atau panas

Menu 10

Meskipun tanpak sedikit, percayalah ia sudah cukup lengkap. Lemang dan nasi impit, kedua-duanya boleh dimakan dengan rendang.

1. Laksa Johor

2. Lemang

3. Nasi impit

4. Rendang ayam atau daging

5. Biskut raya

6. Minuman sejuk atau panas

Menu 11

Ini memang mudah. Sate selalunya anda tempah daripada penjual kesukaan anda. Kuahnya diberi sekali. Anda cuma tambah nasi impit sendiri. Untuk keceriaan warna menu, boleh juga dimasukkan menu mi ataupun bihun goreng.

1. Nasi impit

2. Kuah kacang

3. Sate ayam atau daging

4. Mi atau bihun goreng

5. Biskut raya

6. Minuman sejuk atau panas

Menu 12

Mi bandung dari Johor? Memang kegemaran mereka di selatan tanah air.

1. Mi bandung

2. Nasi impit atau lemang

3. Kuah kacang

4. Rendang ayam atau daging

5. Biskut raya

6. Minuman sejuk atau panas

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2016 @ 12:25 PM