ULAR rusuk kerbau yang berjaya ditangkap anggota JPAM. FOTO ihsan JPAM
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) negeri berjaya menangkap seekor ular rusuk kerbau sepanjang hampir satu meter yang bersembunyi selama tiga hari di bawah kabinet dapur sebuah rumah di Taman Seremban Jaya di sini, pagi ini.

Difahamkan, pemilik rumah terbabit melihat ada objek menjalar melalui bahagian dapurnya tiga hari lalu, namun ketika cuba mencari objek itu, lelaki terbabit tidak menemuinya.

Bagaimanapun, dia terkejut apabila ternampak kepala seekor ular sedang bergerak di bawah kabinet dapur rumahnya lalu segera menghubungi pasukan JPAM, untuk bantuan.

Jurucakap JPAM berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.30 pagi, sebelum lima anggota ke lokasi dan berjaya menangkap ular berkenaan yang dianggarkan sepanjang hampir satu meter.

Dalam kes berasingan, pelanggan yang sedang bersarapan di sebuah restoran di Kemayan Square di sini, bertempiaran lari apabila melihat ular sawa sepanjang dua meter menjalar di kaki lima premis berkenaan, sebelum menyelinap masuk di bawah kayu di premis berhampiran.

"Namun, anggota yang menjalankan operasi mencari di sekitar lokasi itu selama lebih sejam, tidak menemuinya. Kita percaya ular itu masuk ke dalam longkang dan meminta pemilik restoran menghubungi JPAM dengan segera jika ia muncul semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2016 @ 1:23 PM