Oleh Nazarali Saeril


Seoul: Permohonan daripada peminat bola sepak untuk AirAsia menambah jumlah penerbangan ke Hanoi, Vietnam bagi membolehkan mereka menonton perlawanan separuh akhir kedua Malaysia menentang Vietnam esok tidak dapat dipenuhi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya menerima banyak permintaan daripada peminat bola sepak untuk menambah laluan terus ke Vietnam bagi menyaksikan perlawanan Piala AFF itu.

"Bagaimanapun, AirAsia tidak dapat memenuhi permintaan untuk menambah jumlah penerbangan kerana ada beberapa perkara seperti kesukaran untuk mendapatkan permit pendaratan serta meletak pesawat.

"Ini kerana, ia semua berlaku di saat akhir dan untuk mendapatkan itu semua, ia memerlukan masa," katanya kepada wakil media Malaysia di sini, tadi.

Tony ditemui pada majlis pelantikan bekas pemain bola sepak Manchester United (MU) dan Queens Park Rangers (QPR) Park Ji Sung sebagai duta jenama global AirAsia.

Menurut Tony, peminat boleh menggunakan laluan disediakan AirAsia iaitu Kuala Lumpur-Bangkok, Thailand sebelum masuk ke Vietnam.

Pada masa sama, Tony yakin pasukan negara mampu berjaya pada perlawanan berkenaan.

"Saya menyaksikan perlawanan pasukan kita dengan Singapura baru-baru ini dan ia cukup bermutu.

"Saya harap pada masa depan akan dianjurkan perlawanan membabitkan kelab antara negara di negara Asian kerana ia baik untuk perkembangan bola sepak khasnya tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 3:19 PM