Anggota pemisah Ukraine mengawal serpihan pesawat MH17. - Foto REUTERS (Fail)
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Malaysian Airline System Berhad (MAS) dan Malaysia Airlines Berhad (MAB) memfailkan pernyataan pembelaan mereka dalam saman yang difailkan waris enam anak kapal pesawat MH17 sebelum 27 Julai.

Saman itu difailkan waris kepada enam anak kapal pesawat MH17 bagi menuntut ganti rugi kecuaian dan pelanggaran kontrak terhadap MAS dan MAB kerana kehilangan anggota keluarga dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014.

Timbalan Pendaftar Mohamad Shafiq Mohd Sazali menetapkan tarikh itu bagi kedua-dua defendan memfailkan pernyataan pembelaan ketika kes berkenaan disebut dalam kamarnya hari ini dengan dihadiri peguam S Malini mewakili semua plaintif dan Lai Wai Fong mewakili defendan.

Lai memberitahu media, Mohamad Shafiq menetapkan 29 Ogos ini untuk pengurusan kes di depan Hakim Datuk Hue Siew Kheng.

Pada 2 Jun lalu, semua waris enam anak kapal itu menyaman MAS dan MAB yang antara lain mendakwa MAS cuai kerana melaksanakan penerbangan MH17 di kawasan yang diketahui ada konflik bersenjata yang menimbulkan risiko bahaya dan kematian.

Mereka mendakwa kedua-dua defendan melaksanakan penerbangan kurang 1,000 kaki atas ruang udara yang disekat dalam penerbangan itu iaitu ketinggian yang tidak digunakan pesawat lain.

Mereka juga mendakwa MAS melanggar kontrak dalam memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan si mati, gagal memastikan terdapat kakitangan untuk penilaian risiko, anak kapal penerbangan dan kakitangan operasi.

Mereka memohon ganti rugi am untuk kesakitan dan penderitaan, ganti rugi khas, ganti rugi menurut Akta Pengangkutan Melalui Udara 1974, ganti rugi

menurut Akta Undang-Undang Sivil 1956 dan ganti rugi bagi kecederaan psikiatri trauma, kejutan saraf dan gangguan tekanan trauma.

Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di timur Ukraine berhampiran sempadan Russia pada 17 Julai 2014, dipercayai ditembak jatuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2016 @ 6:45 PM