Muhammad Safiq meninggal dunia di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari pacuan empat roda yang terbabas. FOTO ihsan bomba
Mohd Hafizee Mohd Arop

Kuala Kangsar: Seorang maut, seorang cedera selepas tercampak keluar dari pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dinaiki yang terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 50 meter di kilometer 260 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Terowong Menora di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa yang juga pemandu kenderaan dikenali sebagai Muhammad Safiq Dainal Alias, 18, meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang, Mohamad Nur Hafiz Mohd Ridzuan, 20, cedera.

Pegawai Turus Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Deputi Superintendan Mohd Mahiri Hussin berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan mengakibatkan kedua-dua mangsa tercampak keluar dari kenderaan.

Katanya, pacuan empat roda itu kemudiannya terjunam ke dalam gaung sedalam 50 meter mengakibatkan keseluruhan kenderaan itu rosak.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk menerima rawatan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Sekyen 41(1) Akta Penganjutan Jalan 1987," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2016 @ 8:53 PM