MAJLIS memeterai Perjanjian Lesen Wilayah dengan pihak China, 4 Julai lalu.
Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: OLDTOWN White Coffee, rangkaian kafe kopi putih terbesar di Malaysia akan memulakan operasi di China tahun ini selepas memeterai Perjanjian Lesen Wilayah dengan G&L Food and Beverage Management Company Limited pada 4 Julai lalu.

Ia dijadualkan membuka cawangan pertamanya di China pada Oktober ini dengan tumpuan akan diberikan di Wilayah Jiangsu. Malah, jenama berkenaan juga merancang membuka 25 cawangan di China dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Segmen F&B, OLDTOWN Berhad, Clarence Leon D’Silva berkata, pihaknya meluangkan masa setahun untuk menyelidik dan mengkaji pasaran itu dengan teliti.

“Pelaburan kami tertumpu kepada memahami kegemaran dan cara pemakanan tempatan masyarakat China. Ada kejutan baru untuk pasaran China di mana kami memperkenalkan rekaan stor baru, menawarkan menu yang disesuaikan untuk cita rasa tempatan.

“Kami yakin bahawa pelanggan China sanggup mencuba perisa baru dan cita rasa dari luar negara serta menerima standard tinggi masakan asli Malaysia yang ditawarkan,” katanya.

Menurutnya, dengan permintaan yang semakin tinggi untuk masakan Asia Tenggara, kedudukan OLDTOWN kekal teguh dan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sudah menumpukan kepada perluasan antarabangsa untuk menjana pertumbuhan jangka panjang dengan pembukaan cawangan luar negara yang pertama di Singapura pada 2008.

Ini diikuti Indonesia pada 2011 dan Australia pada 2015. Setakat 30 Jun lalu, terdapat 206 cawangan di Malaysia, 10 cawangan di Singapura, 23 cawangan di Indonesia dan satu di Australia menjadikan jumlahnya 240 cawangan.

Perluasan ke luar negara adalah sebahagian daripada langkah strategik untuk mempercepatkan kedudukan jenamanya dan merebut bahagian pasaran di rantau ini.

Menurutnya, kumpulan juga untuk bercadang membuka lebih banyak cawangan berlesen di lokasi strategik di China dengan memberi fokus kepada pelanggan tempatan yang bercita rasa mewah.

“Semua bahan yang diguna di cawangan China akan dikendalikan dapur pusat di Guangzhou, China, sementara ramuan utama akan diimport terus dari Malaysia untuk memastikan keaslian item menu yang ditawarkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2016 @ 7:15 AM