KOLEKSI songkok yang berkonsepkan bendera daerah Johor.
Amran Yahya
am@hmetro.com.my


Johor Bahru: Kebiasaannya songkok berwarna hitam dan biru gelap namun siapa sangka ia turut mengalami evolusi yang dipelbagaikan mengikut cita rasa masa kini terutama dalam kalangan golongan muda.

Ia terbukti menerusi inisiatif seorang pengusaha songkok yang menjadikan bendera daerah di negeri ini sebagai reka bentuk terbaru untuk dipakai sempena Aidilfitri, bahkan penggunaannya dipraktik sejak tahun lalu.

Pengusaha Sinar Songkok Melayu, Mohd Fahirurazi Yahya, 35, berkata selepas songkok berwarna merah biru yang melambangkan bendera Johor dicipta pada tahun lalu, ilham terbaharu pula dengan mencetuskan songkok berlatarbelakangkan bendera daerah.

Katanya, songkok mengikut daerah menyebabkan reka bentuk songkok keluarannya menjadi pilihan orang ramai khususnya anak muda.

“Tahun lalu, saya membuat songkok warna merah biru yang melambangkan bendera Johor dan Alhamdulillah ia mendapat sambutan baik.

“Melihat pasaran baik dan permintaan menggalakkan, saya melakukan evolusi reka bentuknya dengan mengenengahkan bendera daerah,” katanya ketika ditemui bersama produk dihasilkan mempunyai imej masyarakat Johor.

Katanya, setakat ini ada songkok daerah Segamat, Kota Tinggi, Batu Pahat, Johor Bahru, Kluang, Pontian dan songkok lambang ‘Jim’ yang membawa maksud Johor.

“Idea penghasilan songkok mengikut daerah ini timbul dua tahun lalu ketika Majlis Kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar,” katanya.

Mohd Fahirurazi berkata, walaupun penggunaan songkok mengikut musim tertentu seperti keraian, majlis keagamaan dan musim perayaan, ia menjadi pendapatan tetap buat mereka empat beradik yang meneruskan pembuatan songkok peninggalan arwah ayah, Yahya Lajim yang memulakan perniagaan sejak 80-an.

Katanya, pada musim perayaan tahun ini, pihaknya menghasilkan 25,000 songkok pelbagai jenis bagi menampung permintaan seluruh Johor dan pelanggan tetap dari Singapura.

“Alhamdulillah, kalau musim perayaan khususnya bulan Ramadan biasanya kami mengeluarkan 25,000 songkok berbanding 2,000 biji pada setiap bulan.

“Songkok yang kami jual bermula daripada harga RM12 hingga RM95 mengikut jenis dan ketinggian. Penggunaan baldu dari Korea lebih tahan lasak dan tebal berbanding baldu dari China,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2016 @ 9:28 AM