Agensi

Munich: Ketua jurulatih Jerman Joachim Loew mahu terus memberikan komitmen terhadap tugasnya, menegaskan beliau akan mengemudi negaranya ke Piala Dunia 2018 di Russia.

Loew, yang mencetus kejayaan Piala Dunia buat Jerman pada 2014, sedang mempertimbangkan kedudukannya selepas tewas saingan separuh akhir Euro 2016 di tangan tuan rumah Perancis, namun selepas bercakap dengan Presiden DFB Reinhard Grindel semalam beliau memutuskan untuk mengkaji semula kontraknya, yang masih berbaki dua tahun.

“Kami amat kecewa selepas perlawanan separuh akhir, beberapa minggu sebelum dan ketika kejohanan itu cukup baik,” kata Loew.

“Di sebalik kekecewaan kami, pasukan ini tidak mengecewakan, kami pasukan termuda dalam kejohanan ini.

“Saya masih melihat potensi yang hebat, saya pasti mereka akan menggembirakan kami.

“Cita-cita saya masih tinggi iaitu bekerjasama dengan pemain itu dan membentuk mereka untuk misi Piala Dunia 2018 di Russia.”

Grindel menambah: “Bagi kami ia satu penghormatan untuk membiarkan jurulatih kebangsaan berehat beberapa hari selepas kejohanan mencabar itu, menganalisis kejohanan itu tapi kami yakin beliau akan terus bertugas.

“Kami mahu teruskan dengan kesungguhan itu dan berhasrat mempertahankan gelaran itu pada Piala Dunia 2018 sebagai satu matlamat utama.”

Jerman akan memulakan kempen mempertahankan gelaran Piala Dunia dengan kumpulan kelayakan yang turut mempertaruhkan Republik Czech, Ireland Utara, Norway, Azerbaijan dan San Marino. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2016 @ 10:29 AM