Casciaro jaring gol tunggal perlawanan.
Casciaro jaring gol tunggal perlawanan.
AKSI pasukan Celtic (jersi hitam) menentang Lincoln Red Imps, semalam.
AKSI pasukan Celtic (jersi hitam) menentang Lincoln Red Imps, semalam.
AFP

Paris: Kelab gergasi Scotland Celtic tewas 0-1 pada aksi Liga Juara-Juara di tangan Lincoln Red Imps awal pagi semalam dengan gol dijaringkan Lee Casciaro, seorang anggota polis.

Aksi pertama di bawah kendalian Brendan Rodgers dianggap memalukan apabila Casciaro, 34, meledak gol kencang pada minit ke-48.

“Luar biasa, ia sesuatu yang diimpikan setiap orang, menewaskan kelab besar seperti Celtic dan kami berjaya melakukannya di sini,” kata penjaring gol itu.

“Menjaringkan gol kemenangan adalah sesuatu yang akan saya kenang sepanjang hidup,” katanya.

“Keputusan bersejarah buat kelab kami malam ini (semalam). Persembahan berani daripada pemain kami memberikan keputusan yang diimpikan. Tahniah semua!” tulis Lincoln menerusi Twitter.

Ia satu daripada kekalahan terburuk Celtic, juara Eropah 1967 dalam kejohanan itu dan menyebabkan Hoops terpaksa bergantung kepada perlawanan kelayakan kedua di Parkhead minggu depan.

Bagi Rodgers ia permulaan terburuk untuk kariernya di Celtic selepas bekas pengurus Liverpool itu menggantikan Ronny Deila Mei lalu.

Celtic berkunjung ke kelab Gibraltar itu untuk perlawanan kompetitif pertama musim ini sebagai pasukan pilihan ketika berdepan lawan separuh profesional yang turut terdiri daripada pemandu teksi dan ahli bomba.

“Bola sepak bagaikan hobi bagi kami,” kata Casciaro.

Dinamakan bagi menghormati kelab liga bawahan England Lincoln City, kelab Red Imps di Gibraltar mendominasi perlawanan domestik sejak kebelakangan ini, seperti juga Celtic yang menang 14 kejuaraan terakhir liga.

Casciaro, yang bekerja untuk Polis Pertahanan Gibraltar turut menjaringkan gol penentuan sewaktu Lincoln menewaskan kelab Andorra, Santa Coloma 2-1 pada pusingan pertama kelayakan minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2016 @ 10:31 AM