RISTEENA
RISTEENA
Ramlah Zainal

Bukan sahaja mengimbau nostalgia, filem Anak Mami Nasi Kandaq (AMNK) arahan Datuk Professor A Razak Mohaideen mendapat sambutan memberangsangkan daripada penonton sejak menjengah 70 pawagam seluruh tanah air bermula 6 Julai lalu.

Filem genre komedi dan sekuel ketujuh Anak Mami ini menggandingkan ramai pelakon popular dan wajah baru iaitu Fasha Sandha, Qi Razali, Risteena Munim, Maria Farida, Chik Pak Man Telo, Sheila Mambo, Ezzaty Abdullah, Elisya Sandha dan Amylia Nastasha Aziz.

Risteena atau nama sebenarnya, Nur Risteena Munim Zainul Ilyas, 27, mengakui sangat gembira dengan sambutan positif itu.

“Alhamdulillah, filem ini mendapat maklum balas yang sangat baik daripada penggemar filem Anak Mami.

“Malah, tiada lagi kritikan negatif yang dilemparkan kepada saya. Ramai suka lakonan saya sebagai Fitri dalam filem ini.

“Syukur mereka sudah nampak bakat saya dan sebagai pelakon saya akan pastikan ada peningkatan persembahan daripada semasa ke semasa,” katanya.

Jelas Risteena lagi, AMNK ada kekuatan tersendiri dan sesuai dijadikan sajian hiburan seisi keluarga.

“Selain barisan pelakon hebat seperti Fasha, jalan cerita kali ini juga ada kelainan. Saya yakin Anak Mami masih relevan kerana ramai suka melihat kehidupan golongan mami Pulau Pinang yang ada personaliti tersendiri.

“Saya difahamkan Razak akan menerbitkan sekuel seterusnya iaitu Anak Mami Nasi Dalcha jika AMNK mendapat sambutan. Jika diberi peluang, saya ingin membintangi filem itu nanti,” katanya.

AMNK yang juga terbitan FiTA Studios (anak syarikat UiTM Holdings Sdn Bhd) adalah filem keempat lakonannya selepas Girlfriend Kontrak dan Chowrasta.

Tidak gentar persaingan

Selepas menjayakan drama Playboy Itu Suami Aku, rezeki Risteena semakin murah. Terbaru, dia terbabit dengan penggambaran drama 30 episod, Spy Lah Sangat untuk Hypptv.

Menerusi drama itu, Risteena bergandingan dengan Zain Hamid selaku teraju utama.

“Saya terima tawaran drama ini kerana tertarik dengan wataknya yang mencabar. Saya bukan sahaja perlu tampil lasak malah ada banyak babak pergaduhan.

“Sudah lama saya mengimpikan watak sebegini,” katanya.

Kakak kepada pelakon baru Ruhainies ini turut menegaskan tidak gentar bersaing dengan ramai bakat baru.

“Tawaran berlakon tidak pernah putus dan ramai pengarah masih mempercayai bakat saya.

“Lagipun saya percaya dengan rezeki dan sebagai pelakon saya kenalah berikan yang terbaik setiap kali beraksi depan kamera.

“Selepas drama bersiri ini, saya akan terikat dengan penggambaran drama 26 episod yang belum ditetapkan judulnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2016 @ 1:16 PM
Digital NSTP Subscribe