Antara senjata api tiruan ditemui ialah senapang patah, pistol, botol gas dan peluru plastik.- Foto Ihsan PDRM
Senjata api tiruan yang ditemui dalam kereta suspek. - Foto Ihsan PDRM
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Lawas: Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita serta merampas sejumlah senjata api tiruan dalam pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Mengkalap Trusan, Lawas, semalam.

Dalam pemeriksaan jam 11.30 malam itu, lelaki berusia 34 tahun berasal dari Kuala Terengganu bersama rakan perempuannya berusia 36 tahun, ditahan.

Ketua Polis Daerah Lawas Deputi Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pemeriksaan dalam kenderaan dinaiki kedua-dua suspek menemui sejumlah senjata api tiruan.

"Senjata api tiruan yang ditemui ialah tiga senapang patah, tiga pistol, lima botol gas, dua kotak Gamo Gas dan dua bungkus peluru plastik.

"Polis mendapati senjata yang ditemui adalah tiruan yang 90 peratus menyerupai senjata asli," katanya.

Abang Zainal berkata, suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Lawas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2016 @ 6:19 PM