TUNKU Imran (tengah) bersama Norza (kiri) pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis SEAGF di Kuala Lumpur, semalam.
TUNKU Imran (tengah) bersama Norza (kiri) pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis SEAGF di Kuala Lumpur, semalam.

Kuala Lumpur: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tunku Imran Tuanku Ja’afar mahu Malaysia melupakan cadangan melaksanakan penganjuran serentak Sukan SEA dan Para ASEAN tahun depan.

Ia susulan keputusan mesyuarat majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) semalam yang majoriti menolaknya.

Jelas Tunku Imran, hanya ada baki kira-kira 12 bulan sebelum Sukan SEA ke-29 dijadualkan pada Ogos dan ia bukan tempoh yang lama.

“Ini kali terakhir mesyuarat majlis sebelum temasya berlangsung. Jadi, saya mencadangkan kita bergerak ke depan. Pihak sekretariat (Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia) (MASOC) perlu memberi fokus kepada penganjuran Sukan SEA dan menjadikan ia temasya yang hebat.

“Tempoh 12 bulan adalah sangat pantas dan kita perlu bersedia,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat majlis SEAGF semalam.

Terdahulu kehadiran Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada mesyuarat itu gagal memberikan keyakinan untuk membolehkan dua temasya sukan dilangsungkan serentak pada Ogos tahun depan.

Malaysia berhasrat untuk menganjurkan secara serentak Sukan SEA ke-29 dan Para ASEAN kesembilan di Kuala Lumpur.

Ia dibentangkan kepada mesyuarat jawatankuasa eksekutif SEAGF yang dipengerusikan Timbalan Presiden MOM Datuk Seri Norza Zakaria kelmarin untuk mendapatkan persetujuan, namun 10 negara menentangnya sebelum dipanjangkan untuk diluluskan mesyuarat majlis semalam.

“Berbanding 10 semalam (kelmarin), sebanyak sembilan negara hari ini tidak bersetuju (dilangsungkan serentak) dengan Malaysia dan Laos menyokongnya,” jelas Tunku Imran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2016 @ 8:19 AM