FOTO ihsan pembaca
Shamsul Munir Safini


Nibong Tebal: Seorang penumpang wanita maut selepas kereta dinaiki merempuh sebuah treler rosak di Kilometer 160 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Sungai Bakap, di sini, jam 8 malam tadi.

Dalam kejadian itu mangsa Anis Melissa Abdullah, 27, menaiki kereta dipandu Arif Syahmi Ramli, 25, dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abd Samad berkata, kemalangan itu melibatkan kenderaan mangsa dan dua treler.

Beliau berkata, kemalangan berlaku apabila treler yang mengalami kerosakan pada tayar diberhentikan di lorong kecemasan, setelah diletakkan dilorong kecemasan, secara tiba-tiba ia dilanggar sebuah lagi treler dari arah belakang.

Katanya, berikutan kejadian itu treler berkenaan merintangi kedua-dua lorong lebuh raya menyebabkan kereta dinaiki mangsa merempuh treler berkenaan.

Shafee berkata, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu kereta yang cedera di bawa ke Hospital Sungai Bakap (HSB).

Mayat mangsa yang beralamat di Terengganu itu dihantar ke Unit Forensik HSB untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2016 @ 11:12 AM