KAMPUNG Batu Sirih di Pulau Balambangan terletak dalam kawasan Taman Tun Mustapha.
Siti Salmiah A Hamid

Usaha Kerajaan Sabah menubuhkan Taman Tun Mustapha (TMP) di kawasan luar pantai utara Borneo mendapat pujian WWF-Malaysia.

Taman itu berperanan melindungi hampir satu juta hektar terumbu karang, paya bakau, rumpai laut dan kawasan penangkapan ikan yang produktif termasuk lebih 50 pulau.

Pewartaan TMP terlaksana selepas lebih 13 tahun kerja menyiapkannya yang diketuai Taman-Taman Sabah bersama agensi kerajaan, komuniti tempatan, rakan kerja antarabangsa serta sokongan pertubuhan bukan kerajaan termasuk WWF-Malaysia.

TMP menjadi tapak pemuliharaan marin di peringkat global sekaligus mencatat sejarahnya tersendiri.

Sebagai kawasan marin yang penting di kawasan Segitiga Terumbu Karang, TMP memiliki biodiversiti marin yang luas melebihi 250 spesies batu karang keras dan sekurang-kurangnya 360 spesies ikan, penyu hijau dan dugong terancam serta hutan hujan primer, paya bakau dan kawasan rumpai laut.

Namun begitu, pemuliharaan biodiversiti itu pastinya tidak akan kekal lama kerana ia kini menerima ancaman akibat penangkapan ikan berlebihan, kaedah memancing yang disalah guna dan masalah pencemaran.

Justeru, pengisytiharan pewartaan TMP tepat pada masanya yang akan membolehkan usaha bersepadu bagi menangani tekanan terhadap ekosistem marin.

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, Datuk Dr Dionysius Sharma mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Sabah, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah dan Taman-Taman Sabah kerana mengambil langkah positif dalam pewartaan TMP.

“Usaha itu sebagai jalan bagi pelaksanaan pengurusan kawasan perlindungan marin yang inovatif di Malaysia, malah masyarakat tempatan sekitar TMP turut berbangga kerana menjadi sebahagian daripada inisiatif ini.

“Gandingan kerjasama antara WWF-Malaysia dengan pelbagai agensi kerajaan negeri, agensi swasta dan kumpulan komuniti masyarakat memberi impak positif dalam menyokong Kerajaan Sabah mewartakan TMP.

“Menguruskan kawasan besar seperti TMP tanggungjawab besar bagi memastikan kawasan itu terpelihara daripada penerokaan tanpa had. Justeru, WWF-Malaysia komited menyokong Kerajaan Sabah pada masa depan untuk mengendalikan TMP.

“WWF-Malaysia berharap dapat menawarkan sokongan teknikal berterusan kepada Taman-Taman Sabah dan bekerja dengan pelbagai agensi, sektor swasta, masyarakat setempat dan badan bukan kerajaan lain bagi melaksanakan pelan pengurusan kukuh serta memastikan penggunaan sumber yang mapan di TMP,” katanya.

Ketua Pengarah WWF-Antarabangsa Dr Marco Lambertini berkata, pewartaan TMP langkah berkepentingan global yang akan meningkatkan pemuliharaan dan biodiversiti bagi alam semula jadi unik. Ia akan membantu memastikan pengurusan secara mapan sumber marin di kawasan terbabit.

“Pengurusan efektif di Taman Tun Mustapha akan memastikan sumber perikanan di kawasan ini dan eko-pelancongannya berdaya maju dan berkualiti tinggi dapat menjana peningkatan nilai yang besar berdasarkan khazanah alam ini.

“Pewartaan taman ini bakal diangkat sebagai model dan inspirasi kepada pemuliharaan marin di seluruh dunia,” kata Dr Lambertini.

Penubuhan TMP turut melahirkan cara baru pengurusan taman semula jadi di Sabah. Ia bakal menjadi Taman Kategori IV International Union for Conservation Nature (IUCN) iaitu penggunaan secara mapan masih dibenarkan dan masyarakat tempatan di sekitar kawasan itu dapat meneruskan aktiviti mereka dalam zon ditetapkan.

Aktiviti penangkapan ikan yang produktif di kawasan itu membantu lebih 80,000 masyarakat pesisir dan pulau iaitu kira-kira 100 tan metrik ikan bernilai RM820,060 ditangkap setiap hari.

Taman Tun Mustapha sebahagian daripada komitmen Malaysia terhadap Inisiatif Segitiga Terumbu Karang dan sumbangan ke arah memenuhi Sasaran Biodiversiti Aichi di mana sekurang-kurangnya 10 peratus kawasan marin dilindungi dan ditadbir urus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2016 @ 1:24 PM