Sufie tidak faham pihak membangkitkan isu berkenaan. FOTO NSTP
Sufie tidak faham pihak membangkitkan isu berkenaan. FOTO NSTP
Syafil Syazwan Jefri


Penyanyi Sufie Rashid menafikan dakwaan mengatakan dia bersekedudukan dengan teman wanitanya di rumahnya, di sini.

Sufie, 25, ketika dihubungi berkata, adalah mustahil dia melakukan perkara terkutuk itu memandangkan dia tidak tinggal bersendirian di rumah berkenaan.

“Ini semua fitnah. Tak mungkin kami tinggal bersama. Namun, saya tidak menafikan dia pernah menumpang di rumah saya selama beberapa hari. Waktu itu kami bukan berdua-duaan, tetapi turut disertai beberapa pekerja saya yang juga saudaranya,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Penyanyi dari Singapura ini turut menafikan mereka tidur bersama ketika wanita itu menumpang di rumahnya.

“Saya tidak melakukan perkara itu. Sebagai seorang Islam, saya masih tahu batasan agama,” katanya yang juga juara Akademi Fantasia 2015 ini.

Dalam pada itu, Sufie turut menafikan wanita terbabit adalah kekasihnya, sebaliknya hanya sebagai rakan kongsi perniagaan.

“Memang kami sudah mengenali antara satu sama lain sejak di Singapura lagi. Mungkin disebabkan perkenalan kami yang sudah lama, kami jadi rapat dan orang salah anggap.

“Saya sendiri tidak faham kenapa ada pihak yang ingin membangkitkan isu ini. Kami bekerja di restoran yang sama, jadi kadang-kadang kalau pulang dari restoran lewat malam, tidak mungkin saya akan membiarkannya pulang bersendirian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2016 @ 6:35 PM