X
Yusliza Yakimir Abd Talib

Barang kemas termasuk antara benda wajib yang perlu ada dalam setiap almari pakaian wanita di semua peringkat umur, malah ia menambah semangat pada pakaian dan menyalakan mood pemakainya.

Jenama barang kemas kreatif dari Perancis, Taratata menambah kemeriahan pasaran barang kemas di negara ini. Apa tidaknya, ia terkenal dengan reka bentuk yang luar biasa dan berwarna-warni diilhamkan daripada kehidupan seharian, rasa nostalgia, ikon berseni dan apa saja yang menyeronokkan.

Ditubuhkan pada 1986, terdapat reka bentuk yang diilhamkan oleh telefon zaman lama, alat tulis, alatan DIY untuk rumah, set sarapan dan lain-lain yang melangkaui imaginasi kita.

Berbanding dengan barang kemas perak yang biasa, Taratata ialah barang kemas luar biasa dengan pelbagai warna untuk menyempurnakan segala pakaian.

Walaupun pada umur 70 tahun ke atas, mereka juga boleh memakai perhiasan Taratata untuk menonjol dan menyebarkan tenaga positif di sekelilingnya.

Idea penghasilan barang kemas seumpama ini bermula apabila pengasas Taratata menyedari terdapat kekurangan tema barang kemas berwarna-warni dan unik di pasaran. Pasaran barang kemas terutama barang kemas perak di Malaysia agak homogen yang anda tidak dapat membezakannya tanpa label jenama.

Oleh itu, pasukan itu memulakan penyelidikan dan kajian mengenai pasaran barang kemas di seluruh dunia. Mereka serta-merta jatuh cinta dengan Taratata dari saat pertama melihat barang kemas itu.

Mereka bertekad untuk memperkenalkan Taratata ke Malaysia. Hasil kerja keras, peluh dan air mata, mereka berjaya membawa masuk Taratata ke Malaysia hari ini.

Mengikut tema setiap barang kemas, Taratata diperbuat daripada plat perak bebas nikel, resin, kristal Swarovski, batu permata, manik dan mutiara kaca.

Setiap keping permata dibawa kepada kehidupan dengan kombinasi mahir pelbagai warna dan bahan.

Lebih 2,000 reka bentuk yang berbeza dicipta setiap tahun oleh pereka berbakat Taratata dengan idea dan imaginasi liar melalui otak kreatif perekanya.

Mereka melukis dan menconteng sehingga mendapat lakaran yang sedia dihasilkan. Kemudian, barang kemas dibuat dengan tangan mengikut lukisan sebelum dihasilkan dalam siri.

Semua kepingan logam, rantai dan komponen yang berbeza dipasang dan dikimpal bersama untuk menjadi gelang, rantai, cincin, kerongsang dan anting-anting.

Tidak dapat dinafikan, Taratata mempunyai begitu banyak reka bentuk yang menarik dengan tema yang unik.

Siri Telefon Pintar contohnya menggambarkan zaman telekomunikasi dahulu dengan menampilkan telefon Bakelite hitam, radio lama, kertas agenda, pensel dan tali telefon dipintal dengan cara yang lucu dan menarik

‘Old school’ ialah tema kegemaran setiap masa untuk Taratata. Jika merindui zaman persekolahan, anda pasti akan menikmati siri Matematik dan Papier Carbone. Alat tulis semasa sekolah daripada pensel, pen mata hitam klasik, sempoa, atlas dunia juga alat geometri semuanya ditemui dalam koleksi barangan kemas ini.

Jika anda pencinta kucing, pasti tidak dapat menolak siri Gim Tonic. Kucing comel, hati bertitik merah dan rumah yang selesa menunggu anda untuk membawa mereka pulang.

Taratata juga mempunyai koleksi bagi memenuhi minat dan hobi yang berbeza seperti siri A La Francaise untuk berkebun, Jimi untuk muzik, serta seni Septieme untuk filem.

Sebagai alternatif, selitkan keseronokan dalam hidup anda dengan memadankan pakaian anda dengan barangan kemas berbentuk bibir besar dan mata terbeliak yang terdapat dalam koleksi Bidule.

Koleksi Taratata Malaysia boleh didapati menerusi laman web www.T2.com.my atau Facebook dan Instagram Taratata Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2016 @ 5:02 AM