RANGEL dua kali robek gawang Sabah dalam aksi malam tadi.
Rizar Mohd Noor & Aizat Sharif


Pasir Gudang: Dua gol jaringan penyerang Paulo Rangel melonjakkan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di tangga teratas liga selepas menewaskan Sabah 2-1 pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) malam tadi.

Sepanjang 10 minit babak pertama, pelawat lebih agresif mengancam ke kubu tuan rumah, namun benteng pertahanan gandingan kapten Baihakki Khaizan dan Mohd Amer Saidin bertindak menghalang beberapa gerakan berbahaya.

Mujur kelibat Rangel kembali mencetus semangat melawan tuan rumah ketika aksi babak pertama berbaki seminit untuk tamat selepas dia bertindak solo menggelecek tiga pemain pelawat sebelum merembat leret menewaskan penjaga gol, Rozaimie Rohim.

Rangel melengkapkan gol kedua peribadi pada minit ke-83 apabila mudah merembat leret untuk meletak tuan rumah selesa dengan 2-0.

Pelawat merapatkan jurang gol menerusi jaringan Igor Cerina pada minit ke-89 namun sudah terlewat dengan kemenangan memihak JDT II untuk merampas takhta liga selepas mengumpul 28 mata.

Di Kangar, persembahan mantap tiga ‘awang’ import baharu Perlis menyuntik semangat Singa Utara melakar kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Syed Putra.

Tiga import baharu Perlis - Damion Stewart, Park Yong-jun dan Charles Souza Chad yang menggantikan Obinna Nwaneri, Edward Junior Wilson dan Kayne Vincent memberikan aksi terpuji buat skuad bimbingan Dollah Salleh.

Pada perlawanan itu, Negeri Sembilan membuka jaringan menerusi Goran Jerkovic pada minit ke-36 dan kedudukan 1 itu kekal hingga tamat babak pertama.

Jaringan dicari tuan rumah hadir pada minit ke-55 apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan kapten Negeri Sembilan Taylor Francis Regan dan Souza Chad tampil menyempurnakannya.

Souza Chad muncul wira Singa Utara apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-90.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2016 @ 5:17 AM