FOTO Ahmad Saufi Mansor
Ahmad Saufi Mansor


Alor Setar: Polis menahan dua lelaki berusia 45 dan 46 tahun dan merampas 176 ketulan mampat dadah dipercayai ganja bernilai RM540,000 dalam dua serbuan berasingan, di sini.

Serbuan dilakukan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah bersama Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) selepas menerima maklumat awam, kira-kira 9 malam, Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Abd Jalil Hassan berkata, suspek pertama ditahan dalam Toyota Unser yang dipandunya di simpang lampu isyarat Jalan Putra.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemui enam guni plastik mengandungi ketulan ganja mampat dengan anggaran berat 180 kilogram.

"Bertindak atas maklumat, polis kemudian menahan suspek kedua di dalam Proton Saga di hadapan hotel yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi serbuan pertama.

"Berikutan, kedua-dua lelaki berasal dari Kedah dan Pulau Pinang terbabit ditahan untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, bekalan dadah untuk pasaran tempatan berkenaan dipercayai dibawa masuk dari negara jiran oleh sindiket pengedaran dadah.

Katanya, siasatan juga mendapati kedua-dua suspek yang tiada pekerjaan berkenaan mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

"Kedua-dua lelaki berkenaan ditahan reman sehingga 21 Julai ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2016 @ 8:42 PM