PVEEVI (kanan) dan Mohd Fatkhi hasilkan The Chini Saga.
Amirul Haswendy Ashari


Isu filem tergantung dan terus senyap tanpa khabar bukan perkara baru dalam industri perfileman tempatan.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia(Finas) sendiri pernah mendedahkan, ada beberapa filem gagal ditayangkan dan disiapkan kerana berdepan pelbagai masalah.

Selain filem Hanyut, Gentayangan, Bunian dan banyak lagi, antara dalam senarai ialah filem genre fantasi, The Chini Saga yang dilaporkan menelan belanja RM25 juta menggunakan 90 peratus kesan khas imej janaan komputer (CGI) dan dijangka menjalani penggambaran di tujuh negara.

Mengikut jadual, filem itu sepatutnya memulakan penggambaran pada 2013. Selepas hampir empat tahun sepi tanpa berita, akhirnya pengarah, penerbit dan penulis skrip filem itu, Pveevi Zain, tampil memberi penjelasan baru-baru ini.

Katanya, dia tidak bercakap kosong apabila mengumumkan mahu menghasilkan filem itu pada 2013, sebaliknya berusaha melaksanakan projek ini.

“Selama hampir empat tahun saya senyap bukan menghilang atau melarikan diri tetapi menyahut cabaran Finas untuk mencari dana luar.

“Finas hanya memberi dana RM4 juta dan selebihnya daripada kami sendiri. Saya faham, Finas mahu kami sebagai produser generasi baru untuk lebih berusaha.

“Disebabkan dana tidak mencukupi, saya mencari dana luar berjumlah RM16 juta. Syukur akhirnya saya temui mereka yang serius untuk bekerjasama menghasilkan film ini,” katanya.

Pveevi akui memperoleh RM25 juta dana diperlukan untuk menghasilkan filem itu.

Katanya, filem itu bakal diterbitkan produksi baru, Otai Production Sdn Bhd dan Pveevi bertindak sebagai penerbit bersama rakan kongsi baru, Ketua Pegawai Eksekutif Otai Production, Mohd Fatkhi Khairan.

Bersama produksi mereka, ada 15 pembiaya akan melaburkan jumlah keseluruhan RM25 juta untuk filem itu.

Sebanyak RM20 juta dilaburkan untuk pembikinan filem manakala RM5 juga lagi untuk penghasilan permainan serta aplikasi jenama The Chini Saga.

“Saya ambil masa lama sebab sebelum ini ada pelabur berjanji tapi semua tidak tepati. Saya ada juga meminta bantuan daripada menteri dan ketua pengarah, namun tiada rezeki.

“Saya hampir putus asa tetapi apabila dapat sokongan beberapa rakan, saya bangkit kembali untuk buktikan filem ini mampu direalisasikan kerana sudah menghabiskan wang simpanan sendiri hampir RM3 juta untuk kajian dan pemasaran luar negara,” katanya.

Menurutnya, dia hanya mahu membuktikan anak Malaysia mampu menghasilkan filem bertaraf antarabangsa dan tidak sekadar untuk mencipta nama dan populariti semata-mata.

Dia sedar ada pihak skeptikal mengenai pulangan filem itu kerana belum pernah ada filem tempatan yang berjaya mengutip lebih RM20 juta.

Enggan melayan tekanan, dia yang juga pakar IT mendedahkan, filem ini tidak saja ditayangkan di Malaysia, malah akan dipasarkan di tiga benua lain iaitu Eropah, China dan India.

Keyakinannya berdasarkan hubungan baik yang dibina dengan beberapa rakan kongsi dari tiga negara berkenaan yang setia menunggu filem itu siap.

“Walaupun empat tahun menanti, mereka kekal bersama sebab percaya filem ini boleh menembusi pasaran antarabangsa.

“Saya sedar khalayak seni tidak nampak pencapaian saya selama empat tahun ini. Bagi yang mengenali, saya pernah dilantik sebagai ahli panel Microsoft Partner Research di Microsoft Corporation, Washington, Amerika Syarikat (AS).

“Pengalaman saya dalam bidang IT (teknologi maklumat) selama 15 tahun melayakkan saya menjadi penceramah mewakili Malaysia di beberapa persidangan antarabangsa sejak 2012,” katanya.

Selain itu, dia juga pernah berguru dengan Simon Robinson, pencipta perisian yang terbabit di belakang tabir dalam penghasilan filem CGI hebat seperti Transformers dan Avatar.

Melalui ilmu yang ada, dia yakin dapat menggunakannya dalam pembikinan filem sulungnya kelak.

Mengenai barisan pelakon, filem itu pernah didakwa menampilkan barisan pelakon tempatan dan luar negara, termasuk daripada Hollywood dan Bollywood.

“Filem ini memperuntukkan bajet lebih RM2 juta untuk bayaran kepada 15 pelakon utama dan lebih 300 pelakon tambahan. Saya sedar ramai pelakon merajuk dan kecewa sebab filem tertangguh lama. Jadi, uji bakat terpaksa dilakukan semula.

“Kami bercadang mengambil Aaron Aziz, Nabil Ahmad, Raja Ilya, Datuk Malek Noor, Mubarak Majid dan ramai lagi. Pihak kami di setiap negara sudah melamar pelakon antarabangsa seperi Datuk Jackie Chan, Sonam Kapoor dan Rajinikanth. Proses perbincangan mendapatkan pelakon sudah pada peringkat akhir,” katanya.

Katanya lagi, kerja-kerja CGI sudah pun pada peringkat 55 peratus siap dan kini menunggu penggambaran di luar negara saja. Penggambaran filem di luar negara

akan berlangsung minggu ini membabitkan China, India, Norway, Indonesia, Kemboja dan Palestin.

Selepas selesai penggambaran untuk latar filem di negara berkenaan, baharulah penggambaran membabitkan pelakon dan karakter bermula. Filem ini dihasilkan 95 peratus dalam bahasa Inggeris, selebihnya bahasa Melayu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2016 @ 5:03 AM