PEKIN.
Amirul Haswendy Ashari


Mula-mulanya sebagai pelakon kemudian pengarah dan kini Pekin Ibrahim, 34, maju setapak lagi bergelar penerbit. Dia akui teruja dan gementar menanti kemunculan projek sulungnya, filem dokumentari Madness Of Borneo.

Pekin atau Mohd Iznan Ibrahim memperuntukkan RM1.7 juta untuk menjalani penggambaran hampir tiga bulan di sekitar Sabah.

Katanya, minat mendalam terhadap fotografi mendorongnya menghasilkan dokumentari sebagai projek sulung.

“Diikutkan, saya pembikin filem keempat dalam dunia yang menghasilkan filem dokumentari seperti itu. Ia membabitkan perincian dari segi pakaian, premis filem dan budaya.

“Banyak perkara baru yang tidak pernah diketahui diperoleh selama melakukan penggambaran filem itu. Ia dijangka siap sepenuhnya sebelum akhir tahun ini dan akan berada di pawagam tahun depan,” katanya.

Pelakon filem Villa Nabila dan pengarah Mat Motor itu bersyukur pada peringkat suntingan, filem itu mendapat perhatian beberapa pihak asing untuk memasarkan filemnya.

Pada Oktober depan, pihaknya akan menghantar treler filem dokumentari itu untuk diadili juri sempena Festival Filem Antarabangsa Cannes di Perancis.

“Selepas selesai filem itu, saya kembali duduk di kerusi pengarahan untuk filem kedua, KL Wangan yang akan memulakan penggambaran bila-bila masa sahaja.

“Dalam filem itu, selain mengarah, saya juga berlakon dan berganding bersama Datuk Rosyam Nor,” katanya.

Lakonannya menerusi filem Kampung Drift bakal ditayangkan di pawagam pada 4 Ogos depan. Turut menjayakan filem itu ialah Syafie Naswip, Pablo Amirul, Fatin Afeefa, Zalfa Zain, Chen Sin Foo, Puovin Sandera dan Jazli Hassan.

Dalam filem itu, Pekin memegang watak bapa Syafie Naswip, sekali gus menonjolkan nuansa berbeza dari segi lakonan buatnya yang masih muda.

Katanya, memang jarang pelakon seusianya memegang watak bapa, cuma apabila pelakon yang memegang watak anak beza jarak umur kurang 10 tahun, ia nampak janggal.

“Sebagai pelakon, saya perlu bijak bermain dengan gaya lakonan termasuk bahasa tubuh seperti gaya berjalan dan bercakap.

“Apabila pegang watak bapa, saya tidak takut sebab memang sudah berlakon. Jadi, rasanya tidak perlulah nak memilih. Sebagai pelakon, kena sedar ruang serta usia.

“Paling penting, kena berjaya meyakinkan penonton dan buatkan mereka percaya. Kalau takut, pasti tawaran itu terlepas. Itulah sebenarnya yang cuba saya capai.

“Rekaan karakter itu sangat penting terutama ciri-ciri jasmani seperti beruban, cara berjalan dan bercakap dengan betul,” katanya.

Pekin akui selesa menjadi ‘bapa’ Syafie kerana sudah biasa berlakon dengan pelakon itu sebelum ini. Mereka pernah berganding sebagai abang dan adik dalam filem Seludup, tahun lalu.

Kata Pekin, apabila mendapat gandingan betul, lakonan akan menjadi lebih menarik. Disebabkan itu, seseorang pelakon perlukan situasi sekeliling yang kuat untuk nampak cantik.

Dia menerima tawaran berlakon dalam filem itu kerana rapat dengan pengarahnya, Navin dan pada masa sama tertarik dengan kisah permotoran yang ditonjolkan dalam filem itu.

Tanpa berselindung, Pekin akui bidang permotoran memang menjadi pilihannya sejak dulu. Dia pernah ligat

di litar bermain sukan drift sekitar 2004 dan kali terakhir pada 2007 sebelum fokus sepenuhnya terhadap bidang lakonan.

“Diikutkan, filem genre permotoran tempatan tidak sebanyak yang disangka. Sebagai contoh, filem Mat Motor arahan saya dulu lebih kepada keagamaan.

“Tapi disebabkan suka pada sukan permotoran, saya cari cara untuk hasilkan filem sebegitu. Dalam lakonan, kena banyak improvisasi dan dalam Kampung Drift, saya banyak bantu pihak produksi,” katanya sebelum menambah, ia dekat dengan misi hidupnya.

Selain sibuk dengan promosi filem terbaru, dia juga dalam proses kerjasama dengan beberapa pengarah hebat luar negara kelahiran Malaysia. Antara projek kerjasama dirancang ialah membantu promosi filem arahan mereka masuk ke negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2016 @ 5:04 AM