PEREYRA Diaz cuba menjaringkan gol ketika Johor DT berdepan Kedah.
Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim (Johor DT) tidak berdepan masalah untuk memalukan Kedah selepas membelasah pasukan itu 5-0 pada aksi Liga Super di Stadium Larkin, malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Mario Gomez kekal menerajui takhta liga selepas mengumpul 33 tatkala diekori rapat FELDA United yang kini mengumpul 31 mata.

Tuan rumah menghadirkan cemas buat pelawat seawal minit ketiga apabila gerakan yang dimulakan Azamuddin Akil disambar Juan Martin Lucero namun sempat dihalang Mohd Farhan Abu Bakar dan ketika bola muntah Jorge Pereyra Diaz bingkas merembat bola tetapi terkena badan penjaga gol Kedah itu.

Pintu gol pelawat terselamat pada minit ke-16 selepas bola sepakan sudut kapten Safiq Rahim ditanduk kemas Aidil Zafuan Abd Radzak namun Azmeer Yusof di berada tepat di penjuru kiri gol untuk menendang bola keluar ketika Mohd Farhan sudah tertewas.

Selepas mengasak bertali arus gol yang dinanti tuan rumah menjelma pada minit ke-28 apabila bola sepakan lambung Lucero ditanduk kemas Safiq yang menewaskan Mohd Farhan.

Pelawat hampir menyamakan jaringan pada minit ke-33 selepas sepakan percuma Baddrol bakhtiar tepat kepada Shane Smeltz yang tidak dikawal namun bnla tolakan pemain itu sempat ditepis penjaga gol, Farizal Marlias.

Ketika aksi berbaki lima minit untuk ditamatkan pada babak pertama, Safiq melengkapkan gol kedua peribadi apabila mudah menyudahkan hantaran Diaz berpunca daripada bola gerakan Azamuddin.

Tuan rumah nyaris menambah duka pelawat pada minit ke-61 selepas bola sepakan sudut Safiq ditanduk Diaz namun sempat ditampan Mohd Farhan bagi mengelak gawang dibolosi.

Selang seminit kemudian serangan balas pelawat hampir mencipta gol tetapi bola tolakan Smeltz sekadar singgah di tiang gol kiri ketika Farizal sudah tertewas.

Tuan rumah terus menambah derita pelawat pada minit ke-67 selepas gerakan menarik yang dimulakan Safiq ketika mengambil sepakan sudut bijak menendang kepada Diaz yang merembat kencang namun terkena pemain pelawat sebelum Antonio memyambar peluan terhidang untuk merembat bola menerjah jaring.

Diaz melengkapkan kemenangan bergaya buat skuad Harimau Selatan apabila apabila menunjukkan kegarangnya selepas menjaringkan dua gol pada minit ke-80 dan disusuli minit ke-85 untuk memastikan Johor DT kekal di tangga teratas liga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2016 @ 5:24 AM