Motosikal dan van yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan bomba
Farah Suhaidah Othman


Ipoh : Lelaki berusia 23 tahun maut selepas motosikal ditunggang melanggar van di Jalan Bercham berhampiran simpang Lorong Bercham 11, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 4.45 pagi itu, Mohd Farhan Mohd Ali, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu van berusia 53 tahun cedera di muka dan kepala.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, siasatan mendapati van berkenaan dalam perjalanan dari pusat bandar ke pasar pagi Jalan Bercham.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, pemandu van berkenaan membelok kenderaannya sebelum bertembung dengan motosikal terbabit yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu van cedera dan menerima rawatan di Hospital Fatimah, di sini,”katanya ketika dihubungi, di sini.

Chang Keong berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat sebelum dituntut waris untuk urusan pengebumian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2016 @ 5:41 PM