PASUKAN RACC sedia beri cabaran pada HMMTB Grand Prix 2016.
PASUKAN RACC sedia beri cabaran pada HMMTB Grand Prix 2016.
Omar Osman


Sungai Petani: Pasukan Redah Aje Cycling Club (RACC) yang kali pertama menyertai saingan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix 2016 Sirkit 1 di Kulim Hi-Tech Park pada 30 Julai ini tidak meletakkan sebarang sasaran.

RACC ditubuhkan dua tahun lalu boleh dianggap masih baharu dan kurang pengalaman dalam sukan basikal lasak tetapi keupayaan pelumbanya tidak boleh dipandang rendah biarpun kali pertama kelab itu menyertai sirkit MTB.

Pengurusnya Mohd Fazli Azri, 40, berkata, walaupun ahli kelabnya masih baharu namun dari segi pengalaman mereka tidak kurang hebatnya kerana kebanyakan ahli RACC pernah menyertai pelbagai pertandingan sukan basikal lasak sekitar utara tetapi tidak pernah menyertai MTB.

Katanya, ahli RACC kini seramai 30 orang berusia 20 hingga 50 tahun dan inilah kali pertama RACC menyertai pertandingan besar yang diadakan seperti MTB.

“Bukan mahu bersaing tapi sekadar mahu menguji keupayaan dan kebolehan pelumba RACC yang kali pertama bersaing bersama pelumba yang jauh lebih hebat.

“Seramai 20 pelumba RACC sudah lama bersedia untuk menyertai MTB dengan membuat persediaan dari segi latihan,” katanya.

Fazli berkata, tidak mustahil mereka mampu melakukan kejutan pada saingan itu nanti selain MTB juga dapat dijadikan sebagai penanda aras pasukan itu supaya dapat membaiki kelemahan yang ada bagi menghadapi MTB akan datang.

Harian Metro MTB Grand Prix 2016 Sirkit 1 menampil sedikit perbezaan dari pertandingan sebelum ini apabila kali ini ia dibahagi kepada lima kategori antaranya terbuka lelaki berusia 20 hingga 35 tahun ke atas, lelaki junior Masters (36 hingga 44 tahun), lelaki remaja (19 tahun ke bawah), lelaki senior Masters (45 tahun ke atas) dan terbuka wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2016 @ 8:47 AM