Sudirman Mohd Tahir dan Georgie Joseph (Yang diterbangkan oleh Antenna Entertainment Sdn Bhd ke malam gala filem Rudy Habibie di Jakarta dan Indonesia)

Kejayaan filem Habibie & Ainun yang ditayangkan empat tahun lalu mendorong penerbitnya, MD Pictures menerbitkan prekuel filem ini yang berjudul Rudy Habibie.

Filem yang mula ditayangkan di seluruh Indonesia pada 30 Jun lalu itu bakal menembusi pawagam di negara ini pada 4 Ogos depan, dibawakan oleh Antenna Entertainment Sdn Bhd.

Berbeza daripada filem terdahulu, Rudy Habibie diarahkan oleh pengarah ternama, Hanung Bramantyo serta mengekalkan teraju utamanya, Reza Rahadian sebagai Rudy Habibie.

Menariknya, filem ini berjaya mencatat sejuta penonton selepas 10 hari ditayangkan. Ia sekali gus menjadikan Rudy Habibie berada pada kedudukan teratas berbanding tiga filem lain yang ditayangkan serentak di sana.

Menurut penerbitnya Manoj Punjabi, filem ini layak mendapat penghargaan daripada seluruh masyarakat Indonesia kerana ia menceritakan sosok anak bangsa yang membanggakan ibu pertiwi di mata dunia, iaitu BJ Habibie.

“Kita harus optimis untuk mencapai sasaran 10 juta penonton. Saya mahu mengulangi sejarah dengan menyasarkan penonton yang lebih tinggi. Angka itu adalah dua kali ganda daripada filem terdahulu yang mencatat jumlah penonton sebanyak 4.7 juta,” katanya.

Sambung Manoj, selain menampilkan barisan pelakon hebat, garapan jalan cerita daripada pengarahnya memberi warna tersendiri kepada filem ini. Pada masa sama, kesan bunyi filem ini turut dilakukan di Hollywood.

“Daripada pihak produksi filem kami sudah melakukan yang terbaik terutama dari segi pemilihan sutradara dan pelakon. Saya mahu filem Indonesia tidak hanya sekadar projek, tetapi juga menjadi industri. Bagaimana caranya? Salah satunya dengan terus menerbitkan filem yang berkualiti seperti Rudy Habibie ini,” katanya.

Filem ini menceritakan perjalanan kehidupan remaja presiden ketiga Indonesia Habibie atau nama sebenarnya Bacharuddin Jusuf Habibie ketika menuntut di Aachen, Jerman.

Pada masa sama, dipaparkan kisah cinta Rudy Habibie dengan gadis Jerman keturunan Poland, Illona Ianovska lakonan Chelsea Islan yang menjadi pujaan hati Rudy saat itu.

Selain Reza dan Chelsea, pelakon yang terbabit dalam filem ini adalah Indah Permatasari, Ernest Prakasa, Dian Nitami, Pandji Pragiwaksono dan ramai lagi.

Habibie puji Rudy Habibie

Bekas presiden ketiga Indonesia BJ Habibie yang turut hadir pada acara malam gala filem itu pada 25 Jun lalu memuji hasil filem ini serta lakonan Reza yang disifatkannya sebagai luar biasa.

Istimewanya juga, pada hari itu adalah hari ulang tahun ke-80 Habibie.

“Ketika menonton filem ini saya seperti dibawa kembali ke zaman muda. Apa yang dipaparkan menerusi jalan cerita itu semuanya benar. Malah sumpah yang pernah saya lafazkan itu juga bukan rekaan.

“Penerbitan filem ini saya anggap hadiah hari jadi terbesar saya tahun ini. Melihatkan filem ini ia membuktikan bangsa Indonesia sekarang semakin maju apabila mampu menghasilkan filem berkualiti seperti ini dari segala segi.

“Saya tidak melihat satu pun yang kurang dalam filem ini malah ia sarat dengan nilai dan semangat untuk membangunkan bangsa Indonesia seterusnya memberi inspirasi kepada muda remaja,” katanya.

Sementara itu, Reza Rahadian yang sekali lagi diberi tugasan menggalas watak negarawan yang digelar ‘zero to hero’ ini menganggap lakonannya kali ini adalah proses ‘recall’ untuknya.

“Pada mulanya saya menolak untuk melakonkan watak ini. Saya fikir mustahil untuk melakukannya seperti empat tahun lalu. Namun, saya terpaksa bersetuju apabila Habibie sendiri menelefon dan memujuk saya untuk terbabit dalam projek ini.

“Diakui memang susah nak melakonkan watak ini. Seperti diketahui umum personaliti Habibie itu unik terutama dari segi pertuturan, berjalan dan bahasa tubuhnya. Jadi itu cabaran terbesar untuk saya.

“Secara peribadi filem ini adalah proses ‘recall’ saya, tetapi dengan semangat yang lebih muda dan tinggi. Saya tidak melepaskan karakter Habibie, cuma jiwa saja yang lebih muda,” katanya.

Satu lagi cabaran terbesar Reza adalah perlu bertutur dalam bahasa Jerman kerana 70 peratus filem ini berlatarkan kisah Rudy Habibie di sana.

“Saya belajar bahasa Jerman daripada buku Gina Noer yang juga penulis novel filem ini. Pada masa sama, saya banyak belajar daripada pelakon Millane yang berketurunan Jerman.

“Justeru tidak dinafikan filem ini lebih susah daripada yang pertama. Bukan mudah untuk menghidupkan kembali zaman remaja Habibie. Alhamdulillah, pertemuan beberapa kali dengan beliau sedikit sebanyak membantu saya menjiwai karakter dirinya,” katanya.

Menyusul selepas ini adalah siri ketiga daripada rangkaian filem ini yang mengisahkan kehidupan isteri Habibie iaitu Ainun yang dilakonkan Bunga Citra Lestary.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2016 @ 11:29 AM
HABIBIE (bersongkok) hadir memberi sokongan.
REZA dan Chelsea.
BEKAS Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (kanan) turut hadir pada majlis tayangan bersama media.
PENERBIT filem Rudy Habibie.
ANTARA babak dalam filem Rudy Habibie.
ANTARA babak dalam filem Rudy Habibie.