GAMBAR hiasan, penduduk miskin.
GAMBAR hiasan, penduduk miskin.
Agensi

Jakarta: Badan Pusat Statistik (BPS) Indonesia semalam mengumumkan, jumlah penduduk yang hidup di bawah paras kemiskinan di negara itu ialah sebanyak 10.86 peratus atau 28.01 juta orang setakat Mac tahun ini.

Jumlah itu berkurangan sebanyak 580,000 berbanding tahun lalu.

Ketika mengumumkan hasil penyelidikan itu, Pengarah BPS, Suryamin berkata, sebahagian besar penduduk yang hidup di bawah paras kemiskinan itu tinggal di kawasan bandar dan pedalaman Pulau Jawa iaitu seramai 14.97 juta orang.

“Di Jawa, 6.9 juta penduduk bandar hidup dalam kemiskinan sementara 8.07 juta lagi di kawasan kampung,” katanya.

Kawasan kedua paling ramai penduduk yang hidup di bawah garis kemiskinan ialah di Sumatera dengan jumlahnya seramai 6.28 juta.

Menurut Suryamin, Bali dan Nusa Tenggara mempunyai 2.4 juta penduduk di bawah paras kemiskinan, Kalimantan, 970,000 dan Sulawesi, 2.11 juta.

Dengan 22.09 peratus, Maluku dan Papua mencatatkan peratusan terbesar penduduk yang tinggal di bawah paras kemiskinan jika dibandingkan dengan jumlah populasinya.

Bagaimanapun, dengan 1.54 juta jumlah penduduk, angka itu dianggap rendah.

Dalam pada itu, Suryamin juga berkata, Kalimantan adalah wilayah paling kaya di Indonesia pada 2016, diikuti oleh Jawa, pulau paling padat di negara itu.

Menurut statistik terbaru, populasi Indonesia berjumlah 257 juta orang. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2016 @ 7:44 AM