Tertuduh (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Lelaki yang menyamar sebagai perunding syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dijatuhi hukuman penjara enam tahun selepas mengaku salah terhadap dua pertuduhan membabitkan penawaran kontrak kerja di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohmaddun Salleh, 55, selepas mengambil kira pengakuan salah dan pemberatan hukuman pihak pendakwaan.

Mohd Fauzi dalam penghakimannya menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan, selain mengarahkan hukuman berjalan secara berturutan bermula hari ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama, tertuduh yang bekerja sambilan itu didakwa dengan jalan samaran sebagai konsultan bagi Syarikat Sime Darby terhadap Mazlan Musa, 34.

Dia didakwa menawarkan kerja membina dan membekal 50 unit rumah pekerja di ladang Segamat dan Kota Tinggi kepada Syarikat MSA Maju Jaya Trading.

Perbuatan itu dilakukan pada 10 malam di Restoran Norsiah, Jalan Seri Bertam, Yong Peng, Batu Pahat pada 4 Mac 2014.

Dia juga didakwa menipu dengan melakukan penyamaran terhadap Mohd Hamizan Hanafi, 37, dengan menawarkan kerja membina pagar sempadan di Ladang Jalan Pagoh dan Ladang Jalan Mersing.

Penawaran kerja kepada Syarikat Saeia Enterprise itu dilakukan pada 2.30 petang di Bogey Workshop, Kampung Parit Lintang, Parit Yaani, Yong Peng, Batu Pahat, pada 14 Disember 2013.

Kedua-dua pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 416 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 419 kanun sama yang memperuntukkan penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nor Fazlin Hamdan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2016 @ 11:46 AM