MOHD Noor (tengah) bersama Zainudin (kanan) dan Muhamad Shukri (kiri) yang diselamatkan. FOTO ihsan APPM
MOHD Noor (tengah) bersama Zainudin (kanan) dan Muhamad Shukri (kiri) yang diselamatkan. FOTO ihsan APPM


Sungai Petani: Tekong dan dua awak-awak yang hilang lebih 18 jam akibat bot mereka terbalik dipukul ombak diselamatkan bot pemancing di kawasan perairan Yan dekat Pulau Songsong, di sini, pagi tadi.

Tekong bot, Mohd Noor Ishak, 61, bersama awak-awak, Zainudin Zainal, 36, dan Muhamad Shukri Samsudin, 28, diselamatkan 9.50 pagi tadi.

Mereka ditemui bot pemancing di kawasan perairan terbabit dengan duduk di atas bot yang terbalik sebelum diserahkan kepada Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).

Difahamkan bot nelayan terbabit terbalik selepas dipukul ombak besar 3.30 petang semalam di kawasan perairan Pulau Bidan ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Pangkalan Tanjung Dawai, di sini.

Sementara itu, jurucakap APPM mengesahkan kejadian itu dan kesemua mereka sudah dibawa pulang ke Pangkalan Tanjung Dawai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2016 @ 12:01 PM