RUMAH teres dua tingkat musnah dalam kebakaran di Bandar Springhill, pagi ini. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Tindakan pantas jiran memecahkan kunci mangga menyelamatkan seorang nenek dan dua cucunya daripada rentung selepas terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah dua tingkat di Bandar Springhill, pagi ini.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa, Absah Ahmad, 66, bersama cucunya berusia 11 dan tujuh tahun berada di dapur sedang memasak sebelum terdengar letupan di bahagian atas rumah teres terbabit.

Pada masa sama, tiga sekeluarga itu melihat menjulang tinggi sebelum menjerit meminta bantuan.

"Jiran kemudian datang membantu memecahkan kunci mangga pada pintu jeriji untuk mengeluarkan kami yang terperangkap," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba Dan Penyelamat Port Dickson, Ahmad Izam berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.58 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, pihaknya turut mendapat bantuan Bomba Dan Penyelamat Seremban 2.

"Sebaik tiba, api sedang marak membakar bahagian atas dan terdapat tiga mangsa yang bejaya diselamatkan dengan bantuan orang awam.

"Api berjaya dikawal daripada merebak ke rumah sebelah. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2016 @ 3:07 PM