KESUNGGUHAN Beto (kiri) dipuji Kabir.
KESUNGGUHAN Beto (kiri) dipuji Kabir.
ANTARA babak menarik dalam filem Gila Baby.
ANTARA babak menarik dalam filem Gila Baby.
ANTARA babak menarik dalam filem Gila Baby.
ANTARA babak menarik dalam filem Gila Baby.
ANTARA babak menarik dalam filem Gila Baby.
ANTARA babak menarik dalam filem Gila Baby.
IESTA dan Kabir (kanan) ketika berkunjung ke Balai Berita untuk mempromosikan filem Gila Baby.
IESTA dan Kabir (kanan) ketika berkunjung ke Balai Berita untuk mempromosikan filem Gila Baby.
Oleh Norhadiani Baharom

Jika anda pencinta filem tempatan, Gila Baby adalah sebuah filem yang wajar ditonton sebagai pelengkap seleksi tontonan anda pada tahun ini.

Genap 11 hari tayangan di pawagam, karya sutradara Kabir Bhatia ini bukan saja membabitkan pelakon hebat, malah menawarkan jalan cerita yang menarik disampaikan dalam bentuk komedi menghiburkan, lari daripada filem komedi sedia ada.

Percubaan ketiga Kabir dalam menggarap filem bercorak komedi, Gila Baby yang mengetengahkan konsep 'road movie', diakui pengarah itu salah satu filem paling mencabar sepanjang duduk di kerusi pengarah.

"Diam tak diam, saya sudah menghasilkan lapan filem. Di mana tiga daripadanya adalah genre komedi antaranya Setem. Dalam menghasilkan sesebuah filem pasti akan berdepan dengan pelbagai cabaran.

"Namun tidak keterlaluan saya katakan Gila Baby antara filem paling sukar untuk dihasilkan. Ini kerana subjek utamanya adalah bayi dan jalan ceritanya pula menceritakan kegiatan mencuri kereta yang dilakukan Bob kerana desakan hidup dan mahu membayar bil perubatan bapanya.

"Keadaan menjadi haru-biru apabila seorang bayi berada dalam kereta yang dicuri Bob. Apabila membuat penggambaran membabitkan bayi berusia 6 bulan yang terbabit hampir keseluruhan cerita, ada babak memerlukan kita merakam dia ketawa dan ia perlu dibuat ketika mood adik Chacha dalam keadaan baik.

"Pada waktu-waktu tertentu dia perlu tidur dan menyusu. Adik Chacha ketika di luar set, seorang bayi yang mesra dengan orang tetapi bila dalam set sebaik lampu dibuka, dia akan menangis.

"Sebagai pengarah, saya faham cuaca terik dan keadaan lampu yang panas membuatkan Chacha berasa rimas. Justeru, saya dan kru produksi terpaksa mencari jalan alternatif, mengubah pencahayaan dari sudut yang lain.

"Untuk proses ini saja sudah mengambil masa yang banyak dan juga membazir tenaga. Bagaimanapun, pada babak terakhir membabitkan adik Chacha atau nama sebenarnya Nur Iman Khalisha, dia mengagumkan kami apabila akhirnya ketawa seolah-oleh tahu penggambaran sudah selesai," katanya.

Mengunjungi Balai Berita bersama penerbit filem itu, Tengku Iesta Tengku Alaudin, dari Grand Briliance Selasa lalu, cabaran terpaksa dilalui produksi di bawah pimpinannya apabila pelakon Beto Kusyairy, kemalangan sewaktu merakamkan lagak ngeri motosikal yang melanggar lalu lintas.

"Salah seorang pelagak ngeri kami hilang kawalan dan menyebabkan Beto terjatuh dan cedera. Kemalangan itu berlaku terlalu pantas dan kami tidak sempat berbuat apa-apa melainkan terpaku dan panik.

"Kami lihat seluar Beto bukan saja koyak tetapi berdarah dengan banyaknya kerana kulit bahagian atas hingga bawah lutut tersiat. Semasa penggambaran itu memang ada ambulans dan juga rawatan ringkas disediakan.

"Selepas lima minit Beto memaklumkan kepada saya dia ingin menyambung adegan seterusnya.

Saya tanya apakah dia yakin dan sekiranya tidak mampu dibenarkan pulang, namun dia menolak kerana katanya akan melambatkan lagi proses penggambaran.

"Saya tabik kepada Beto dalam kecederaan teruk seperti itu dia masih memberikan lakonan yang baik walaupun di wajahnya cuba menyembunyikan kesakitan.

"Tidak salah kami memilihnya dan dia pelakon lelaki terbaik yang pernah saya ambil berlakon di bawah arahan saya. Dia sememangnya salah seorang 'Director's Actor'.

"Beto memahami apa sahaja yang saya inginkan secara teknikalnya dan juga secara emosinya. Saya tidak akan meminta pelakon yang lebih baik daripada Beto untuk bekerjasama dengan saya," katanya.

Pada temu bual yang sama, Kabir turut memuji barisan pelakon yang lain seperti Sharnaaz yang memainkan watak Roy dan Nadiya Nissa sebagai Jaja.

"Roy adalah kaki buli di sekolah dan sering membuli Bob. Apabila dewasa berkecimpung dalam dunia gengster. Namun, dia menerima Bob sebagai sahabatnya dan bersetuju membantu Bob menyelesaikan masalah kewangan untuk menampung pembedahan bapanya.

"Sengaja melarikan imej gengster yang sinonim dengan jaket kulit, Sharnaaz sebagai Roy kami gambarkan sebagai lelaki metroseksual. Sharnaaz begitu menyerlah dan komited dengan watak yang diberikan. Dia sangat-sangat kelakar!

"Manakala Jaja lakonan Nadiya Nissa, dia seorang yang sukar dipercayai kerana kerap menceritakan kisah yang mungkin benar atau sebaliknya," katanya.

Bercakap mengenai babak kegemarannya, Kabir amat terkesan dengan watak Mongol (dilakonkan oleh Craig Fong) seorang pembunuh yang mempunyai sikap atau penyakit pelik.

Menerusi adegan itu dia diminta untuk membunuh seseorang, akan tetapi mempunyai sikap yang pelik menyebabkan dia mudah terganggu dengan sesuatu sehinggakan dia tidak fokus dengan tugasan diberi.

"Saya juga sukakan babak berlawan menggunakan durian sebagai senjata. Babak ini paling disukai penonton kanak-kanak," katanya.

Watak-watak lain yang meninggalkan impak menerusi filem ini antaranya Ayahanda-San dimainkan oleh Chew Chew Kin Wah, seorang gengster Cina yang menjalankan perniagaan restoran Jepun.

Pun begitu, paling diperkatakan adalah lakonan Mazlan Pet Pet dan Adlin Aman Ramlie yang membawakan watak Tom dan Jerry.

Gila Baby, mengisahkan seorang lelaki malang yang terdesak memerlukan sejumlah duit untuk pembedahan bapanya dan menerima nasihat kawan lamanya, seorang kaki buli di sekolah, untuk melakukan jenayah mencuri kereta.

Namun begitu, apabila kereta yang berjaya dicuri itu ada seorang bayi yang kebetulan adalah cucu seorang gengster paling digeruni dan mencetuskan aksi kejar mengejar, dia mesti cekalkan hati demi melindungi bayi itu dan seterusnya menghantar duit untuk pembedahan ayahnya sebelum terlambat!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 5:13 AM
Digital NSTP Subscribe