ANGGOTA polis memeriksa kenderaan mangsa selepas kejadian 6 Julai lalu. Tweet Khalid (gambar kecil) mengumumkan kes itu sudah diselesaikan. FOTO arkib NSTP
Mohd Fadly Samsudin


Kuala Lumpur: Polis menyelesaikan kes tembak ejen hartanah wanita dan anak perempuannya di Taman OUG, Jalan Klang Lama, selepas menahan lapan individu di Kuala Lumpur dan Perak semalam.

Kejayaan itu dimaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi laman Twitter rasminya, hari ini.

Menurut Khalid, tangkapan dilakukan anggota Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman serta Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur.

"Syabas STAFFOC dan JSJ KL @PDRMsia selesaikan kes tembak wanita dan anak di OUG, tangkap 8 orang di Kuala Lumpur dan Perak, rampas pistol semalam," katanya.

Pada 6 Julai lalu, wanita berusia 32 tahun maut, manakala anak perempuannya berusia lapan tahun cedera di kepala dalam kejadian tembakan di Jalan Hujan Emas 4, Taman OUG, Jalan Klang Lama, pada 2.28 petang.

Sebelum kejadian, mangsa bersama lima anak berusia dua hingga 13 tahun dan pembantu rumahnya makan di restoran berdekatan.

Mangsa dan keluarganya dipercayai baru memulakan perjalanan ke Pulau Pinang untuk bercuti.

Tiba-tiba, lelaki bermotosikal menembak mati mangsa dari jarak dekat manakala anaknya yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan turut terkena satu das tembakan.

Siasatan polis mendapati, suspek melepaskan lima das tembakan dan satu daripadanya terkena di sisi kanan kepala mangsa manakala satu lagi terkena anak mangsa.

Difahamkan, Ketua Polis Kuala Lumpur akan mengadakan sidang media berhubung kejayaan itu esok.

Berita berkaitan:

Polis rekod keterangan 15 orang

Polis rakam keterangan 10 individu

Mati ditembak depan anak

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 10:08 AM