Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Kuantan: Peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan memberi sogokan RM500 kepada anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen di Cameron Highlands, tahun lalu.

Tertuduh, Chong Kok Ming, 36, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memberi suapan dalam bentuk wang tunai kepada anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Cawangan Temerloh, Abdullah Zawawi Mat Junoh sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas pekerjanya, warga Bangladesh yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Dia melakukan kesalahan itu di Jalan Boh Batu 2 1/2 Ringlet, Cameron Highlands pada 9.30 malam, 16 Mac 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Faisal Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam Simon Evansin.

Habibah kemudiannya menetapkan tarikh 28 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi membolehkan pegawai pendakwa menyerahkan semua dokumen berkaitan kepada peguam.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 1:44 PM