X
SEBAHAGIAN daripada PATI yang ditahan. FOTO Rasul Azli Samad
SEBAHAGIAN daripada PATI yang ditahan. FOTO Rasul Azli Samad
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Seramai 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi bersepadu di dua lokasi iaitu tapak pemotongan kapal dan pembinaan di sini, pagi tadi.

Semua PATI berumur 20 hingga 50 tahun itu ditahan dalam operasi yang bermula jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Penolong Pengarah Kanan Imigresen negeri Mohamad Lamsah Othman berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas 116 warga asing dan 45 daripadanya adalah PATI.

"Seramai 42 diperiksa di tapak pemotongan kapal di tambak pasir, Limbongan, dan kita menahan 12 lelaki warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan India berusia 20 hingga 50 tahun.

"Manakala di tapak binaan di Taman Bertam Impian kita memeriksa 74 individu sebelum menahan 30 lelaki dan tiga wanita warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Nepal berusia 25 hingga 50 tahun," katanya ketika ditemui selepas operasi berakhir.

Lamsah berkata, kesemua PATI yang ditahan dikesan melakukan kesalahan membabitkan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen negeri untuk saringan kedua sebelum di hantar ke Machap Umboo.

Operasi bersepadu itu diketuai Jabatan Imigresen Melaka (JIM) bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), RELA dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 3:13 PM