Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: “Ahmad Shapawi Ismail layak diangkat Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) yang baru.”

Itu pandangan Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi berhubung pengganti Datuk Seri Zolkples Embong untuk mengepalai agensi kerajaan yang banyak merencanakan program sukan negara itu.

Ahmad Shapawi yang juga Pesuruhjaya Sukan berada dalam senarai lapan calon disenarai pendek untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Zolkples selepas kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran pingat emas Sukan Asia dan Komanwel tahun ini.

“Berdasarkan pengetahuan dan pengalaman dimiliki Ahmad Shapawi, saya rasakan beliau paling layak,” kata Kok Chi yang turut berpengalaman luas dalam kancah sukan negara.

Bagaimanapun Kok Chi enggan mengulas lebih lanjut kerana kuasa menentukan pengganti Zolkples terletak di tangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

“Saya tidak mempunyai halangan jika Ahmad Shapawi terpilih. Beliau calon sesuai kerana pengalaman dimilikinya, namun pada masa sama calon lain perlu juga dipertimbangkan.

“Seharusnya Ketua Pengarah MSN yang baru adalah dalam kalangan mereka berpengetahuan luas dan mendalam terhadap sukan tempatan.

“Contohnya, ketua pengarah di sesebuah hospital seharusnya dalam kalangan doktor, bukan orang luar,” katanya.

Malah Kok Chi turut mengekalkan pandangannya sebelum ini bahawa calon tempatan wajar diberikan peluang mengisi kerusi panas itu berbanding warga asing.

Sumber rapat KBS kelmarin mendedahkan ada lapan calon yang sudah di senarai pendek untuk ditemuduga pada Isnin dan Selasa depan dengan Ahmad Shapawi antara yang tersenarai selain Dr Hamdan Mohd Ali (pensyarah dari Universiti Malaya), Datuk Salim Parlan (bekas Timbalan Ketua Setiausaha Strategik KBS) dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Badminton Ireland Richard Vaughan dari Wales.

Ahmad Shapawi dilihat calon paling sesuai berdasarkan pengalaman luasnya di MSN sebelum menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara dan seterusnya Pesuruhjaya Sukan.

Beliau memulakan kerjaya sebagai pegawai bahagian latihan atlet di MSN pada 1988 dengan jawatan tertinggi pengarah bahagian atlet pada 2007 yang membolehkannya terbabit secara langsung dalam Program Jaya ‘98, Gemilang 2001 dan Doha 2006.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 6:46 AM