WILFRED Madius (kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada pelajar dan guru Program Students On Ice: Arctic Educational Expedition 2016. FOTO Nursyahirah Marzuki
WILFRED Madius (kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada pelajar dan guru Program Students On Ice: Arctic Educational Expedition 2016. FOTO Nursyahirah Marzuki
Nursyahirah Marzuki


Sepang: Dua pelajar dan seorang guru dipilih bagi menyertai ekspedisi pendidikan ke benua Artik melalui Program Students On Ice: Arctic Educational Expedition 2016 yang bermula esok hingga 5 Ogos ini.

Dua pelajar terbabit adalah Muhammad Arif Mohd Robi, 16, dari Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu dan Hanifah Mohd Rofiq, 16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu, manakala guru Nurul Ain Johar, 26, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Marang, Marang, Terengganu.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Panglima Madius Tangau berkata, program tahunan yang dilaksanakan kementerian melalui agensinya, Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) bertujuan memupuk minat pelajar dalam bidang sains.

Katanya, ia sekaligus dapat melahirkan lebih ramai penyelidik yang membantu perkembangan sains dalam negara.

"Mereka akan diberi pendedahan untuk memahami dan meneroka penyelesaian isu perubahan iklim global melalui aktiviti yang akan dilaksanakan di sana.

"Peserta bukan sahaja didedahkan dengan keadaan baru malah dapat berkenalan serta bertukar pendapat sekali gus mengeratkan perhubungan di antara negara yang terbabit seperti Kanada, Denmark, Sweden, Norway dan Jepun," katanya pada sidang media sempena Majlis Menghantar Guru dan Pelajar ke Program Students On Ice : Arctic Educational Expedition 2016 di sini, hari ini.

Lebih 100 pelajar dari seluruh dunia termasuk dari Kanada, Amerika Syarikat (AS), Denmark, Sweden, Norway dan Jepun akan menyertai ekspedisi kali ini.

Ekspedisi ini turut disertai oleh kakitangan sokongan yang terdiri daripada saintis, ahli sejarah, pengembara, penulis buku, guru dan kru lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 7:26 PM