Oleh Nazarali Saeril


Seoul: Bekas pemain bola sepak Manchester United (MU) dan Queens Park Rangers, Park Ji Sung tidak menyimpan impian menjadi jurulatih.

“Sejak bersara, saya tiada impian menjadi jurulatih mana-mana pasukan dan saya rasa ia akan kekal begitu.

“Saya memang mahu terus terbabit dengan bola sepak kerana sukan ini sudah menjadi darah daging saya, namun hanya sebagai kakitangan pengurusan,” katanya semalam.

Ji Sung ditemui pada majlis pengumumannya sebagai duta jenama global syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia, AirAsia.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes.

Sebagai duta jenama global AirAsia, Ji Sung akan turut terbabit dengan pelbagai promosi berkaitan syarikat penerbangan berkenaan.

Menurutnya, setakat ini, beliau juga tidak diminta mana-mana pihak termasuk AirAsia untuk mencari bakat baru bola sepak di Korea Selatan.

“Jika AirAsia meminta berbuat demikian, saya akan lakukannya. Ketika ini, ada kem bola sepak di Korea Selatan membabitkan remaja, tapi hanya pada musim panas.

“Kalau selepas ini saya dijemput melihat perkembangan peserta di kem ini, saya mungkin menimbangkannya,” katanya.

Selain itu, menurut Ji Sung beliau juga masih berhubung dengan teman sepasukan di MU terutama Patrice Evra.

“Evra hadir perkahwinan saya baru-baru ini. Dia kawan rapat saya di MU. Kami berhubung pada masa terluang dan jika ada masa, mungkin kami akan bertemu,” katanya.

Ditanya mengenai jurulatih pilihannya, Ji Sung mengatakan hanya dua individu menjadi idolanya.

“Sudah pasti (Alex) Ferguson (bekas jurulatih MU) dan (Gus) Hiddink (bekas jurulatih PSV Eindhoven). Mereka memberi kesan mendalam terhadap karier bola sepak saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 6:50 AM