Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) setakat 31 Mei lalu berjaya menyelesaikan 10,480 kes daripada Program Pengurusan Kredit (PPK) membabitkan jumlah keseluruhan bernilai RM427.1 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Azaddin Ngah Tasir berkata, sejak penubuhan AKPK pada 2006 sehingga 31 Mei 2016, 440,398 pelanggan mendapatkan perkhidmatan kaunseling AKPK dan sebanyak 152,803 daripada mereka dibantu melalui program PPK.

“Keseluruhan peserta bukan terdiri daripada mereka yang muflis, tetapi mereka yang datang kepada AKPK mempunyai masalah pembayaran balik hutang mereka.

“Dalam kebanyakan kes, faktor yang menyumbang kepada masalah hutang dan ketidakupayaan membayar balik pinjaman disebabkan oleh perancangan kewangan yang lemah dan tidak mempunyai pengetahuan membuat perancangan kewangan,” katanya.

Menurutnya, selain itu punca masalah kewangan dihadapi peserta program turut membabitkan tahap disiplin kewangan yang kurang.

Azaddin berkata, terdapat juga peminjam bermasalah disebabkan faktor luar jangkaan seperti masalah kesihatan, kematian pencari nafkah, kehilangan pekerjaan dan kegagalan perniagaan.

Beliau berkata, PPK diwujudkan untuk membantu peminjam memperbaiki tahap kewangan mereka dan selain itu, peminjam individu boleh mendapatkan bantuan AKPK bagi menstruktur semula pinjaman perumahan, kenderaan, pinjaman peribadi atau baki tertunggak kad kredit.

AKPK mencapai tahap membanggakan, terutamanya selepas meluaskan sayap ke negeri seperti Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Lumpur, Kuching, Kota Kinabalu, Melaka, Ipoh, Kuantan, Kuala Terengganu, Alor Setar dan Kota Bharu yang ditubuhkan untuk membantu keseluruhan rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 8:33 AM