ANGGOTA bomba membantu mangsa tersepit di tempat duduk pemandu. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
Khairul Najib Asarulah Khan

Seremban: Pemandu lori kontena parah selepas kenderaan dipandunya terbabas dan merempuh pokok di kawasan Perindustrian Sungai Gadut di sini, pagi tadi.

Kejadian berlaku 4.55 pagi ketika mangsa, Samsol Pemadi, 32, mahu meletakkan kenderaan terbabit di kawasan berkenaan sebelum hilang kawalan dan merempuh pokok di bahu jalan.

Difahamkan, ketika kejadian, lori dipandu Samsol tanpa muatan kerana baru pulang daripada menghantar barangan gantian kereta di Melaka.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Zainurin Sharip berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.06 pagi.

"Tujuh anggota bergegas ke lokasi untuk membantu mengeluarkan mangsa tersepit.

"Kami terpaksa menggunakan mesin hidraulik untuk memotong bahagian yang remuk sebelum mangsa dikeluarkan 10 minit kemudian.

"Mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini oleh ambulans untuk menerima rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 10:05 AM