NIK Mohd Azlan (tiga kanan) bersalaman dengan Wan Kamal (dua kiri) selepas Majlis Menandatangani Surat Hasrat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalin kerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk penganjuran program dakwah ke atas Orang Asli.

Program dikenali 'The Ukhwah Walk' dibangunkan UKM menerusi Fakulti Pengajian Islam.

Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi berkata, program itu sudah bermula tiga bulan lalu bertujuan memperkasakan lagi kefahaman Orang Asli terhadap Islam.

"Unit Dakwah Bahagian Agama Maik ketika ini memantau Orang Asli beragama Islam di Kampung Redip, Pos Hau, Gua Musang.

"Dengan kerjasama ini kita akan lebih berpeluang menilai tahap kefahaman mereka terhadap ajaran Islam selama dua tahun sebelum buat penilaian semula," katanya, di sini, hari ini.

Beliau percaya dengan kepakaran UKM akan lebih memperkukuhkan proses dakwah dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

Terdahulu, Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof Dr Wan Kamal Mujani mewakili universiti menandatangani Surat Hasrat untuk pelaksanaan program itu.

Manakala, MAIK diwakili Nik Mohd Azlan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 1:25 PM