Jurujual Mardhiah Abd Razak, 19, dan rakannya, Nurul Aishahira Sarudin 18, menunjukkan aksesori telefon yang dijual di kios mereka di MARA Digital Mall, Anggerik Mall Shah Alam. - Foto MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT
Jurujual Mardhiah Abd Razak, 19, dan rakannya, Nurul Aishahira Sarudin 18, menunjukkan aksesori telefon yang dijual di kios mereka di MARA Digital Mall, Anggerik Mall Shah Alam. - Foto MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT
BERNAMA

Shah Alam: Lima lagi pusat menjual barangan teknologi maklumat (IT) iaitu MARA Digital Mall akan dibuka di beberapa negeri selewat-lewatnya akhir tahun depan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penambahan cawangan itu bagi memberi peluang kepada lebih ramai Bumiputera membabitkan diri dalam pasaran digital dan IT.

Katanya lima pusat Mara Digital itu ialah di Petaling Jaya, Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

"Bagi Terengganu, kita masih berbincang dengan pihak pengurusan Paya Bunga Mall untuk membuka Mara Digital Mall di situ, begitu juga di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor, kita tengah berbincang untuk mendapatkan lokasi sesuai termasuk dari segi penyewaan tempat serta pelanggan.

“Kita tidak mahu buka di kawasan terpencil yang akan sukar untuk dimajukan.

"Bagaimanapun untuk Glomac Mall (Petaling Jaya), kita sedang kenal pasti jumlah penyewa dan akan mula buka jika jumlah penyewa mencapai 60 peratus," katanya selepas merasmikan Mara Digital di Anggerik Mall di sini, hari ini.

MARA Digital Anggerik Mall adalah cawangan kedua selepas mall pertama di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Ismail Sabri berkata, peniaga di MARA Digital Anggerik Mall menikmati pengecualian bayaran sewa selama enam bulan

Buat masa ini ada 32 kios di MARA Digital Anggerik Mall yang menjual produk dan aksesori ICT termasuk telefon bimbit serta laptop.

"Bagi fasa kedua pula kita akan babitkan penyertaan syarikat telekomunikasi sebagai pusat pembayaran bil. Bulan depan (Ogos), kita jangka 17 lagi oulet lebih besar akan dibuka termasuk syarikat pengeluar telefon bimbit besar seperti Samsung dan Oppo," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 8:52 PM