Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Remaja lelaki berusia 14 tahun meninggal dunia pagi tadi dipercayai akibat dijangkiti penyakit leptospirosis atau kencing tikus.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, pemeriksaan dan ujian awal ke atas remaja terbabit menunjukkan tanda serta gejala penyakit leptospirosis.

Menurutnya, laporan awal daripada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, mendapati mangsa mendapat rawatan di Jabatan Kecemasan HSB semalam jam 5.45 pagi.

"Mangsa dikatakan demam selama empat hari dengan gejala sakit otot dan sendi-sendi serta muntah selain turut batuk berdarah sebanyak lima hingga enam kali dan sesak nafas sehari sebelum dibawa ke Hospital.

"Keadaan mangsa ketika diterima di Jabatan Kecemasan dalam keadaan tenat dan diberikan bantuan pernafasan dengan serta merta sebelum mangsa terus dimasukkan ke wad rawatan rapi (ICU) bagi penjagaan pakar," katanya dalam satu kenyataan media hari ini

Dr Norhizan berkata, rawatan intensif diberikan oleh pakar, namun keadaan mangsa semakin tenat dengan berlaku perdarahan dalam paru-paru serta mengalami kegagalan fungsi buah pinggang.

"Remaja terbabit kemudian disahkan meninggal dunia pada 5.45 pagi tadi.

"Berdasarkan maklumat diterima, mangsa bersama rakannya pernah mandi di Bukit Wang, Jitra namun Jabatan Kesihatan Negeri Kedah sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti pergerakan sebenar mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 11:00 PM