ABDUL Rahman (tengah) pada sesi lawatan ke TERAJU, TalentCorp dan Ekuinas, semalam.
myMetro

Petaling Jaya: Kerajaan meminta setiap agensi seperti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) dan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) mengguna pakai media sosial sebagai medium menyampaikan maklumat kepada golongan muda.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, TERAJU, TalentCorp dan Ekuinas juga dilihat terus memperkasakan agenda Bumiputera bagi menyumbang pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, peranan agensi terbabit menyampaikan maklumat dan kejayaan dicapai menerusi medium media sosial perlu diguna pakai.

“Saya ingin agensi ini memberi tumpuan kepada media sosial menggunakan bahasa yang mereka (rakyat) boleh fahami, berinteraksi dan meyakinkan kerana sekarang adalah zaman mengguna pakai media sosial seperti Twitter, Instagram dan Facebook.

“Malah, saya menyarankan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) setiap agensi perlu mempunyai akaun Facebook atau media sosial lain bagi berkongsi maklumat,” katanya pada sidang media selepas sesi lawatan ke TERAJU, TalentCorp dan Ekuinas, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 7:19 AM