AFP

Budapest: Juara bertahan Lewis Hamilton berdepan pertarungan getir dengan pendahulu kejuaraan yang juga rakan sepasukan Mercedes, Nico Rosberg serta pasukan Red Bull yang berpotensi menggegar ketika dia memburu kemenangan penting pada Grand Prix Hungary, hujung minggu ini.

Pemandu Britain berusia 31 tahun itu, yang turut menyasarkan untuk melengkapkan kemenangan hatrik selepas kejayaan di Austria dan Britain, boleh merampas kedudukan Rosberg yang mendahului satu mata dalam perebutan kejuaraan jika menang kali pertama di Hungary sejak 2013.

Namun dia sedar litar Hungaroring yang sempit, banyak selekoh dan panas itu jarang menyebelahinya atau pasukan Mercedes akhir-akhir ini ketika dia mengintai kemenangan kali kelima di litar itu.

Dia kini berkongsi rekod bagi kemenangan terbanyak di litar itu bersama juara dunia tujuh kali Michael Schumacher. Kedua-duanya menang empat kali.

“Dalam dua tahun kebelakangan, hujung minggu saya kurang sempurna di Budapest,” kata Hamilton yang kali terakhir menang di Hungary pada 2013. “Tapi saya tahu saya mempunyai kepantasan, jadi saya mahu mengubah keadaan kali ini.

“Saya mendapat sokongan mengagumkan di sana jadi saya tidak sabar turun ke litar. Sejak kegagalan di Barcelona tahun ini, saya mampu memupuk kekuatan mental dan sikap.

“Saya berasa cergas, kuat dan yakin. Ada perasaan membara dalam diri ini.”

Sebaliknya Rosberg, yang mengalami hujung minggu memilukan pada Grand Prix Britain, yang mana dia dikenakan penalti kerana kesalahan komunikasi radio dan menyaksikan jurang pendahuluannya sekadar satu mata, sudah hilang rentak sejak perlumbaan Sepanyol Mei lalu.

Dalam enam perlumbaan sejak Catalunya, Rosberg hanya menang sekali manakala Hamilton meraih empat kemenangan untuk merapatkan kedudukan dalam kejuaraan dunia.

Rosberg mendahului dengan 43 mata Mei lalu dan tampil pada perlumbaan kali ini memburu kemenangan pertamanya di litar yang menyambut ulang tahun ke-30 perlumbaan di Hungary.

Tahun lalu pemandu Jerman itu berakhir di tangga kelapan namun tetap yakin menjelang perlumbaan ke-11 musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 8:07 AM