Mohd Hafizee Mohd Arop


Taiping: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini memerintahkan seorang pesara tentera membela diri atas pertuduhan melakukan penerokaan di kawasan hutan simpan kekal tanpa kebenaran, dua tahun lalu.

Hakim Mohd Sabri Ismail mengarahkan A Raman Hashim,51, membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu.

A Raman didakwa bersama beberapa yang lain melakukan penerokaan tanpa kebenaran di Hutan Simpan Kekal Pondok Tanjung dekat Gunong Semanggol, Kerian antara 8 Jun hingga 21 September 2014.

Dia didakwa pada 3 Mac tahun lalu mengikut Subseksyen 32(1) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 yang diguna pakai kerajaan negeri mengikut Enakmen Perhutanan Negeri 1985 dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 32(2) akta sama yang mana jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM50,000 atau dipenjara maksimum lima tahun.

Tertuduh kemudiannya memilih untuk memberikan keterangan secara bersumpah manakala peguamnya Mustafa Ghazali memaklumkan sebanyak empat saksi akan dipanggil untuk memberikan keterangan dalam kes pembelaan.

Mohd Sabri kemudiannya menetapkan 1 September ini untuk perbicaraan kes pembelaan dan pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya, Safiyatun Ahmadun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 10:20 AM