FOTO kanak-kanak yang didakwa berkeliaran dalam keadaan tidak berpakaian di hentian bas di Larkin tersebar di Facebook.
myMetro

Johor Bahru: Kisah seorang kanak-kanak lelaki berusia lingkungan empat tahun dalam keadaan tidak berpakaian bergelandangan bersama ibunya di hentian bas Larkin di sini, menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai selepas ia tersebar menerusi laman sosial Facebook (FB,) 19 Julai lalu

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata, bagaimanapun kedua-dua beranak itu didapati tiada di lokasi berkenaan ketika pihaknya membuat tinjauan.

Pihaknya berulang kali menjalankan tinjauan di kawasan berkenaan untuk menyelamatkan mereka, tetapi hingga kini tidak dapat dikesan.

Menurutnya, berdasarkan maklumat peniaga di kawasan berkenaan, mereka pernah menemui dua beranak itu di situ yang menjadikan kaki lima di hadapan tandas awam sebagai tempat tidur.

“Peniaga dan pihak pengurusan di hentian bas berkenaan juga tiada maklumat berkaitan dua beranak berkenaan.

“Difahamkan mereka datang dari Kuala Lumpur dan terkandas di sini selain ibu kanak-kanak berkenaan juga memiliki masalah kesihatan,” katanya.

Manayi berkata, pihaknya berharap maklumat berkaitan dua gelandangan berkenaan disalurkan kepada JKM secepat mungkin di talian 07-2232606.

Pihaknya bersedia menyelamatkan dan membantu dua beranak itu sekiranya mereka berdepan masalah.

Sementara itu, Presiden Amal Team Johor, Romzi Abd Aziz berkata, pihaknya bimbang dengan keselamatan kanak-kanak berkenaan.

“Ada rakan saya menyatakan cuba menghampiri wanita itu, namun dia mengamuk hingga dia menjauhkan diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 10:54 AM