Skip this ad x
AIN berlakon sebagai Puteri Ghazal.
KEMUNCULAN Rosli membantu menguatkan lagi teater ini.
DIOR tampil membawakan watak Putera Mahkota.
Ridzuan Abdul Rahman


Sebulan berehat sepanjang Ramadan, pentas Semarak Bangsawan 2016 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kembali dengan pementasan ketiga berjudul Bangsawan Nyiur Gading Puncak Mahligai.

Naskhah hasil karya dan arahan Kalam Hamidi ini dipentaskan di Auditorium DBKL bermula malam ini hingga Ahad jam 8.30 malam.

Kalam atau nama sebenarnya Abdul Malek Ab Hamid adalah pengarah yang tidak asing lagi dalam dunia teater.

Sepanjang pembabitannya sejak 1965, anak kelahiran Umbai, Melaka ini tampil dengan naskhah hebat seperti Anak Nazar Tujuh Keramat dan Sial Bertuah yang meletakkan namanya sebagai penulis prolifik sebaris dengan penulis drama terkenal tanah air yang lain.

Sehingga kini, Kalam sudah menghasilkan lebih 30 skrip drama pentas dan sebahagiannya sudah diterbitkan dalam format antologi.

Dia juga pernah mementaskan drama Nyiur Gading Puncak Mahligai di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 2000.

Kali ini cabarannya berbeza kerana Kalam perlu mementaskan teater ini dalam versi bangsawan yang berkualiti bagi memenuhi piawaian ditetapkan JKKN.

Pengurus produksi teater ini, Sakrani Shamsuddin berkata, selain cabaran itu, mereka juga perlu mengharungi cabaran mengadakan latihan dalam bulan puasa.

“Latihan pada Ramadan memberikan cabaran yang lebih buat semua yang terbabit dan mereka juga perlu lebih bersabar.

“Latihan sebelah malam pula hanya dimulakan selepas selesai solat sunat Tarawih. Ini disebabkan lokasi latihan di pentas terbuka JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berdekatan Masjid Negara dan amat tidak sesuai sekiranya latihan diadakan ketika umat Islam sedang menunaikan solat sunat Tarawih,” katanya.

Pementasan Nyiur Gading Puncak Mahligai membariskan antaranya penyanyi, Dior Shahril sebagai Putera Mahkota, Ain Sufia (Puteri Ghazal), Filza Azmi (Puteri Inggeris), Rosli Rahman Adam (Penghulu), Dolah Gambus Al Linggi (Lanang), Khamsah Abdullah dan Salman Al Farisi (Bentara).

Penonton juga akan dihiburkan pelawak tanah air dalam segmen antaranya Ramasundram (Jangan Ketawa) dan Salman Al Farisi Maharaja Lawak Mega (MLM) dan kumpulan Awok MLM.

Tiket berharga RM10, RM25 dan RM50 (Premier) boleh didapati di luar Auditorium DBKL.

Sebarang pertanyaan dan tempahan tiket boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-26148262 atau melayari laman web www.jkkn.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 11:54 AM