GURU dan pelajar sedang memberi bantuan kepada seorang pelajar yang tercedera dipercayai cuba membunuh diri dalam satu kejadian di sebuah sekolah menengah dekat sini. FOTO ihsan pembaca
Azahar Hashim


Kulim: Seorang pelajar perempuan patah paha kiri dan cedera di kepala serta badan selepas terjun dari tingkat dua sebuah sekolah menengah setinggi 12 meter di Padang, Serai, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.45 petang itu, mangsa berusia 15 tahun bertindak demikian dipercayai selepas dimarahi ibunya kerana berhutang dengan rakannya sebanyak RM30.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Barudin Wariso berkata, kejadian dipercayai berpunca dimarahi ibunya ketika pulang ke rumah selepas sesi persekolahan akibat mangsa berhutang dengan rakannya.

Menurutnya, sebelum kejadian itu, rakannya datang ke rumah dan berjumpa dengan ibu mangsa sebelum memberitahu masalah hutang itu.

"€œAkibatnya sebaik mangsa pulang kira-kira jam 1.30 petang, dia terus dimarahi ibunya menyebabkan dia yang tidak tahan keluar semula menaiki motosikal.

"€œTidak lama kemudian beberapa pelajar terlihat mangsa berada di atas tembok koridor di tingkat dua sekolahnya namun mereka tidak sempat menolongnya apabila dia terus terjun,"€ katanya.

Barudin berkata, mangsa yang tidak sedarkan diri kemudian dikejarkan ke Hospital Kulim dan kini dalam keadaan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 3:14 PM