PEMAIN Kelantan menjalani latihan menjelang aksi menentang Pahang di padang MARDI Kubang Kerian, semalam.
Azlan Hafeedz


Kota Bharu: Barisan pertahanan Kelantan digesa mengukuhkan benteng jika tidak mahu dihukum Pahang apabila kedua-dua pasukan bertemu pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Kerapuhan benteng pertahanan Kelantan yang agak ketara ketika pertemuan dengan Selangor pada kempen Piala Malaysia Rabu lalu, jelas mencetuskan kebimbangan pengendalinya, Velizar Popov.

Ketua jurulatih dari Bulgaria itu berkata, beliau tidak mahu kelemahan sama berulang dalam pertemuan dengan Pahang dan menuntut semua pemain pertahanan supaya bangkit menyekat kemaraan lawan.

Popov berkata, pertemuan dengan skuad bimbingan Mohd Razip Ismail itu tidak boleh dipandang mudah sekalipun Kelantan menewaskan pasukan itu dalam kempen Piala Malaysia, tempoh hari.

Katanya, skuad Tok Gajah pasti bangkit untuk membalas dendam di atas kekalahan itu dan Kelantan perlu berhati-hati jika tidak mahu kecundang di laman sendiri.

“Ketiadaan Muslim Ahmad yang terpaksa berehat panjang kerana kecederaan serius membuatkan pertahanan Kelantan sedikit pincang.

“Namun, saya lega kerana pemain baru, Mohamad Faris Shah Rosli dilihat mampu mengisi mana-mana posisi (pertahanan) selepas memberi aksi cemerlang sekalipun baru pertama kali beraksi,” katanya.

Kelantan kini menghuni tangga keempat dengan pungutan 16 mata manakala Pahang berada di dasar liga.

Popov berkata, pertemuan dengan Pahang dijangka sengit selepas pasukan yang terkenal jolokan Hogoh Pahang Hogoh itu dilihat kembali menemui sentuhan mereka.

Katanya, beliau akan menyusun semula strategi berikutan perubahan drastik Pahang namun, belum memutuskan senarai pemain dalam kesebelasan utama.

“Empat tonggak import Pahang, Claudio Meneses, Pabli Vranjican, Jailton Santos dan Faysal Shayesteh perlu diawasi kerana mereka mula menunjukkan keserasian.

“Kami akan berusaha memburu tiga mata untuk menempatkan diri dalam lima kelompok terbaik Liga Super,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2016 @ 12:03 PM