SEKUMPULAN lelaki bermain ‘Pokemon Go’ di daerah Shibuya, Tokyo, semalam. - Reuters
SEKUMPULAN lelaki bermain ‘Pokemon Go’ di daerah Shibuya, Tokyo, semalam. - Reuters

Tokyo: Rakyat Jepun semalam mula memburu makhluk maya berwarna-warni dalam watak Pokemon Go - permainan telefon pintar Nintendo - yang akhirnya dilancarkan di negara itu.

Permainan itu tanpa disangka menjadi gilaan peminat - dari Sepanyol hingga ke Australia seterusnya menggandakan nilai saham Nintendo sejak ia dilancarkan di Amerika Syarikat (AS) awal bulan ini.

Jepun terpaksa menunggu lebih lama kerana Niantic - pihak yang mencipta permainan itu - serta Nintendo perlu memastikan pelayan mampu menampung popularitinya. Akhirnya, selepas berhari-hari pelbagai khabar angin tersebar, ia dilancarkan di Jepun.

Pelajar sekolah menengah, Maho Ishikawa, 16, berkata: “Semua orang merungut kerana kami tidak boleh memainkannya di sini sedangkan Pokemon berasal dari Jepun. Saya gembira akhirnya dapat bermain permainan itu dan sudah pun menangkap satu makhluk.”

Permainan realiti berperantara itu memerlukan pemainnya memburu dan menangkap ‘makhluk’ di kejiranan sendiri menggunakan telefon pintar. Ia turut menggunakan persekitaran biasa seperti teksi dan ruang pejabat sebagai medan memburu.

Dalam ucapan video kepada peminat Jepun, ketua n Game Freak dan pencipta bersama permainan itu, Junichi Masuda memohon maaf kerana mereka terpaksa menunggu begitu lama sebelum membawa permainan itu ke Jepun.

Beberapa negara Asia lain termasuk China - pasaran permainan atas talian dan telefon pintar terbesar dunia - masih belum boleh mengakses permainan itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2016 @ 12:21 PM